BERAZAM untuk terus perbaiki diri demi menjadi penyanyi disegani.
BERAZAM untuk terus perbaiki diri demi menjadi penyanyi disegani.
Georgie Joseph


Awal tahun ini, nama Bulan Sutena tiba-tiba meledak susulan lagu Terpesona nyanyiannya jadi kegilaan di media sosial. Sepantas kilat, gadis kelahiran Bali, Indonesia ini menempa populariti.

Memiliki rupa paras cantik dan suara merdu, pakej Bulan, 17, sememangnya lengkap bergelar bintang. Justeru, tidak hairan tidak sukar untuknya meraih jutaan peminat dalam tempoh singkat.

Ia sekali gus berjaya membuka laluan mudah untuknya melebarkan nama sebagai artis rakaman.

Kini bernaung di bawah syarikat rakaman Legacy di Indonesia, kerjaya muziknya juga semakin berkembang.

Menerusi temu bual bersama RAP baru-baru ini, Bulan mengakui sangat bersyukur apabila rezekinya menjadi penyanyi dipermudahkan.

Dia tahu dirinya masih terlalu muda, namun sedia untuk mengharungi dunia glamor.

"Dengan populariti yang saya nikmati sekarang, saya sangat bersyukur dengan rezeki ini. Ini kerana saya memang sejak kecil lagi impikan untuk menceburi bidang muzik.

"Dapat pula sokongan luar biasa daripada peminat seperti sekarang, ia memotivasikan diri saya untuk terus berjaya. Saya mungkin terlalu muda tapi semangat untuk maju itu begitu membara.

"Matlamat saya cuma untuk menghasilkan karya-karya muzik yang berkualiti. Saya berazam untuk terus belajar dan paling penting memperbaiki setiap aspek dalam diri demi bergelar penyanyi yang bagus," katanya.

Menempa nama dalam tempoh pandemik Covid-19 melanda pastinya memberi kelebihan buatnya. Ini kerana, perintah berkurung dilaksanakan memberi lebih masa kepada netizen untuk mengenal ramai artis baharu.

Tidak terkecuali juga Bulan sendiri. Dia sedar ada juga sisi kontranya apabila dikenali menerusi media sosial dan pasti tidak terlepas daripada komen-komen berbaur kecaman.

BULAN semakin meledak selepas lagu Terpesona tular.
BULAN semakin meledak selepas lagu Terpesona tular.

Bagaimanapun, dia melihatnya sebagai motivasi diri untuk terus membuktikan bahawa bakatnya berkualiti. Ia termasuk kecaman dirinya tidak mampu menyanyi dengan baik secara langsung.

"Setakat ini, pengalaman paling menyakitkan hati adalah apabila video nyanyian saya yang agak sumbang jadi tular. Gara-gara itu, saya mendapat pelbagai kecaman yang mempersoalkan kredibiliti nyanyian saya secara langsung.

"Bagaimanapun, saya tetap terbuka menerima kritikan itu sebagai pembakar semangat untuk terus maju. Lagipun, masih banyak lagi ilmu yang saya ingin timba dalam misi mengembangkan karier muzik," katanya.

Semakin sibuk dengan pelbagai aktiviti seni, Bulan juga harus berjauhan dengan keluarga dan berkelana ke kota Jakarta. Walaupun begitu, dia sentiasa bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada keluarga tercinta setiap saat.

"Sekarang saya berpangkalan di Jakarta dan tinggalkan Bali. Itulah antara perubahan besar yang berlaku dalam hidup saya kerana selama ini pun memang sentiasa bersama keluarga.

"Namun saya sangat bersyukur kerana keluarga sentiasa memberi kata dorongan untuk naikkan semangat saya. Terutama apabila saya mendapat komen-komen netizen yang agak negatif," katanya.

Dalam pada itu, Bulan juga semakin rancak mempromosikan lagu baharunya berjudul Ghosting. Menurutnya, dia memang mahu terus berkarya hasilkan lagu sendiri berbanding setakat menyanyikan semula lagu orang lain.

"Ramai pasti tahu lagu Terpesona itu adalah lagu 'cover version'. Saya memang tidak sangka dengan sambutan luar biasa apabila versi saya menjadi tular dan bersyukur ia menaikkan nama saya.

"Bagaimanapun, semestinya saya juga ingin hasilkan lagu sendiri. Kini, saya sudah lancarkan lagu Ghosting yang mana liriknya saya tulis sendiri dan berharap diterima luar biasa sebagaimana Terpesona," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 6:35 AM