SERIUS teroka lebih jauh cabang dunia seni sebagai penerbit dan pengarah.
SERIUS teroka lebih jauh cabang dunia seni sebagai penerbit dan pengarah.
Syafil Syazwan Jefri


Dengan usia menjengah 20 tahun, ia membawa transisi berbeza dalam kehidupan serta karier penyanyi dan pelakon, Wafiy Aan.

Siapa sangka, perjalanan kariernya yang bermula dengan muzik kini membawanya meneroka lebih sedekad, sekali gus mencipta nama sebagai pelakon.

Kini, Wafiy atau nama sebenarnya Mohd Wafiy Ilhan ingin meneroka dengan lebih jauh cabang dunia seni, sekali gus terjun dalam posisi sebagai penerbit dan pengarah.

"Saya dalam proses untuk meneroka dan belajar selok-belok dunia penerbitan serta pengarahan. Sebenarnya minat dalam bidang penerbitan dan pengarahan sudah muncul sejak lima hingga enam tahun lalu.

"Pada mulanya saya sendiri pun tak sedar, tapi setiap kali menonton sesuatu karya, saya lebih cenderung untuk meneliti dan mengkaji proses di sebalik pembikinan karya itu.

"Pada ketika itu, timbul satu rasa bahawa saya sebenarnya menyimpan minat dalam bidang ini dan memang nak mulakan," katanya.

Minatnya itu kemudian dituangkan dalam pembikinan dua single solonya sebelum ini.

"Alhamdulillah, setakat ini saya diberikan peluang mengarahkan dua single saya sebelum ini iaitu Lat Tali Lat yang dikeluarkan pada 2020 dan Lupa yang baharu saja dilancarkan Julai lalu.

"Insya-Allah, syarikat pengurusan saya iaitu Rocketfuel Network kini dalam proses perancangan untuk saya terbitkan siri mini saya sendiri hasil kerjasama dengan Red Communications Sdn Bhd.

"Untuk projek ini, saya bukan saja diberi peluang menyandang posisi sebagai penerbit, tetapi juga pengarah," katanya.

Ditanya mengenai inisiatifnya menuju ke arah yang lebih serius dalam dunia penerbitan dan pengarahan, Wafiy berkata, dia serius dan bersungguh-sungguh.

"Ini bukan perkara main-main kerana saya serius. Insya-Allah, Oktober depan saya terbabit dalam satu filem yang turut membariskan pelakon 'otai'.

WAFIY ingin teroka dunia penerbitan dan pengarahan.
WAFIY ingin teroka dunia penerbitan dan pengarahan.

"Untuk filem ini, saya terbabit sebagai pelakon. Ia juga menjadi titik tolak untuk saya belajar lebih mendalam lagi dunia penerbitan dan pengarahan.

"Judulnya belum boleh didedahkan setakat ini. Ini menjadi filem kedua lakonan saya dan saya sangat teruja menantikannya," katanya.

Ditanya mengenai genre filem yang menjadi pilihannya sebagai penerbit dan pengarah, Wafiy lebih selesa dengan genre di mana dia membesar sebagai pelakon kanak-kanak.

"Kalau ditanya mengenai genre yang menjadi pilihan hati saya, ia lebih kepada komedi dan fantasi. Kenapa saya pilih genre itu? Ini kerana saya sendiri membesar sebagai pelakon untuk genre sebegini dan di masa depan, mungkin kalau minat saya beralih, baru saya cuba benda lain pula," katanya.

Terbaharu, Wafiy kini muncul menerusi drama bersiri SMK yang memasuki musim keempat.

"Dalam drama bersiri SMK, saya terbabit sebagai pelakon sejak musim pertama. Alhamdulillah, watak Mal yang saya bawakan kadangkala memberi lebih kesan kepada penonton berbanding nama saya sebenar.

"Kalau keluar pun, bila berjumpa orang terutama kanak-kanak, mereka panggil saya dengan panggilan Mal. Apa pun, saya rasa sangat teruja dengan kehadiran musim keempat ini," katanya.

Berkongsi mengenai perbezaan musim keempat berbanding tiga musim terdahulu, Wafiy berkata, proses penggambarannya memberikan tenaga berbeza buat semua pelakon.

"Sebelum ini dalam musim kedua, semua pelakon perlu memakai pelitup muka ketika menjalani penggambaran dan itu menjadi pengalaman berbeza buat kami semua contohnya dari segi ekspresi wajah.

"Dalam musim ketiga pula, proses penggambaran terpaksa dijalankan secara virtual memandangkan kita terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ketika menjalani penggambaran musim keempat, kita diberikan kelonggaran dan kami rasa sangat teruja. Selain proses penggambaran, jalan ceritanya juga diselitkan dengan beberapa kematangan antaranya, kisah mengenai persahabatan dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 6:30 AM