STRUKTUR bangunan di Pangsapuri Seri Berembang, Pelabuhan Klang tidak lagi selamat diduduki.  - Gambar NSTP/FAIZ ANUAR
STRUKTUR bangunan di Pangsapuri Seri Berembang, Pelabuhan Klang tidak lagi selamat diduduki. - Gambar NSTP/FAIZ ANUAR
BESI cerucuk yang sudah kelihatan di bangunan berkenaan.
BESI cerucuk yang sudah kelihatan di bangunan berkenaan.
ZULAZAN  menunjukkan struktur bangunan yang rosak teruk.
ZULAZAN menunjukkan struktur bangunan yang rosak teruk.
Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Lebih 1,000 penghuni di Pangsapuri Seri Berembang di sini, buntu selepas diarahkan mengosongkan kediaman mereka selepas struktur bangunan berkenaan bermasalah dan tidak selamat untuk diduduki.

Secara keseluruhan, pangsapuri itu mempunyai lima blok kediaman, tetapi hanya tiga blok iaitu A, B dan C membabitkan 304 rumah disahkan mengalami masalah struktur.

Pengerusi Penduduk Taman Seri Berembang, Mohd Yusof Dolah, 53 berkata, keretakan bangunan terutamanya di blok C bermula sejak 2012 bagaimanapun, pemaju sudah mengambil tindakan membaikinya sebelum kerosakan teruk berlaku semula pada 2017.

"Bermula Julai 2021 hingga Mei lalu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) melantik sebuah syarikat konsultan untuk membuat kajian mengenai bangunan pangsapuri ini.

"Hasil kajian yang dilaksanakan mendapati tiga blok (A, B, dan C) tidak selamat diduduki berikutan masalah struktur dan penduduk diarahkan untuk mengosongkan rumah masing-masing.

STRUKTUR bangunan di Pangsapuri Seri Berembang, Pelabuhan Klang tidak lagi selamat diduduki.  - Gambar NSTP/FAIZ ANUAR
STRUKTUR bangunan di Pangsapuri Seri Berembang, Pelabuhan Klang tidak lagi selamat diduduki. - Gambar NSTP/FAIZ ANUAR

"Secara jujurnya, kami terkejut dengan taklimat yang diadakan secara tergesa-gesa malah kami juga buntu mahu pindah ke mana kerana ini adalah rumah kami," katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, ketika kajian hendak dilaksanakan, penghuni di 16 rumah di blok C yang paling jelas mengalami kerosakan diarah keluar.

Katanya, mereka diberi pilihan sama ada ingin tinggal di rumah yang disediakan MPK atau tinggal di tempat lain.

Pangsapuri itu mula didiami pada 1997 dan dibeli pada harga sekitar RM22,500.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Pangsapuri Seri Berembang, Zulazan Mat Zin, 50 berkata, ketika taklimat, syarikat konsultan memberitahu kerosakan di pangsapuri itu berlaku akibat struktur asas binaan dan bukan disebabkan tanah.

Katanya, penghuni tidak kisah untuk berpindah sekiranya kerajaan negeri atau pihak yang berkaitan memenuhi tuntutan mereka.

Antaranya, termasuk meroboh serta membina semula pangsapuri berkenaan dan penduduk boleh kembali tinggal di situ apabila ia sudah siap kelak.

"Jadi, kami meminta rumah sementara disediakan untuk kesemua penghuni di tiga blok yang terbabit seterusnya tindakan meroboh dan bina semula dilaksanakan.

BESI cerucuk yang sudah kelihatan di bangunan berkenaan.
BESI cerucuk yang sudah kelihatan di bangunan berkenaan.

"Kerajaan negeri ada menawarkan wang ihsan berjumlah RM42,000 kepada penghuni dan mencari rumah lain.

"Namun, agak sukar bagi kami kerana jika ingin membuat pinjaman rumah sekalipun susah memandangkan rata-rata penduduk adalah pesara swasta yang tiada pendapatan bulanan.

"Kami meminta agar ruang rundingan terus dibuka kerana kebanyakan daripada kami memang tiada rumah lain," katanya yang sudah 24 tahun tinggal di pangsapuri berkenaan.

Menurutnya, selepas notis pengosongan dikeluarkan pada 25 Jun lalu, sekitar 15 rumah sudah dikosongkan yang mana kebanyakan adalah penyewa dan bukan pemilik.

Mengulas lanjut, Zulazan berkata, pihaknya ada menghantar surat maklum balas kepada MPK selepas tiga hari notis dikeluarkan dan selepas ini pihaknya akan menghantar ke Pejabat Menteri Besar.

"Tindakan akan dilakukan secara berperingkat dan berharap agar pihak berkaitan dapat memenuhi tuntutan kami," katanya.

Ikuti penjelasan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang dan MPK berhubung isu ini dalam Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 12:00 PM