Oleh Na'imah Mohamed dan Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Penduduk panik seketika apabila kawasan perumahan mereka dilanda ribut seolah-olah puting beliung dalam kejadian di Pandamaran, di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lebih 30 rumah membabitkan dua blok pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) turut mengalami kerosakan akibat angin kencang berkenaan.

Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) Lee Fu Hae berkata, dalam tempoh hanya 30 minit banyak kawasan terutama di Jalan Banting dan Jalan Besar Pandamaran mengalami kerosakan teruk akibat ribut berkenaan, termasuk pokok tumbang dan rumah yang rosak.

Katanya, ribut berkenaan kelihatan seperti puting beliung kecil, dan menerbangkan atap rumah di kawasan itu terutama di bangunan yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 7:11 PM