PEMAIN badminton negara memakaikan pingat emas kepada Norza (duduk depan) selepas memenangi acara berpasukan campuran, malam tadi. FOTO MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
PEMAIN badminton negara memakaikan pingat emas kepada Norza (duduk depan) selepas memenangi acara berpasukan campuran, malam tadi. FOTO MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
Daripada Amirullah Andi Nur

Birmingham: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kejayaan skuad negara memenangi pingat emas acara berpasukan campuran, malam tadi membuktikan tiada yang mustahil dicapai jika usaha keras dilakukan selain wujud semangat berpasukan tinggi dalam kalangan pemain.

Katanya, Malaysia yang diletakkan sebagai bukan pilihan pada aksi bertemu India itu menunjukkan pasukan negara sudah belajar daripada kegagalan pada saingan Piala Thomas di Bangkok pada Mei lalu.

"Perlu diingat kita adalah pasukan 'underdog' (bukan pilihan) sebelum final ini dan bukannya 'favourite' (pasukan pilihan), namun kita berjaya buktikan tiada yang mustahil.

"Sebelum aksi final, saya berjumpa mereka (pemain) dan saya katakan jika mereka main penuh bersemangat sebagai satu pasukan, kita boleh kalahkan sesiapa saja dalam final ini.

"Pada masa sama, pemain negara nampaknya sudah belajar daripada kesilapan ketika Piala Thomas di Bangkok yang menyaksikan pentingnya untuk mencuri mata dari acara perseorangan seperti dilakukan Ng Tze Yong," katanya selepas perlawanan di National Exhibition Center (NEC) di sini.

Malaysia mengutip emas pertama menerusi badminton, malam tadi selepas menewaskan India selaku juara bertahan 3-1 dalam aksi sengit dan mendebarkan.

Ia adalah juga emas ketiga kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022, selepas atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan menyumbang emas pertama negara diikuti Muhamad Aznil Bidin.

Dalam aksi final itu, beregu wanita, M Thinaah-Pearly Tan yang tampil sebagai wakil keempat memastikan kemenangan Malaysia selepas menewaskan Jolly Treesa-Ponnappa Machimanda, 21-18, 21-17.

Terdahulu, beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meletakkan Malaysia di depan apabila menewaskan Satwik Sairaj Rankireddy-Chirag Chandrashekhar Shetty 21-18, 21-15 sebelum India menyamakan kedudukan menerusi Pusarla Venkata Sindhu yang menundukkan Goh Jin Wei 22-20 dan 21-17.

Tze Yong kembali meletakkan Malaysia di depan 2-1 menerusi kemenangan tiga set ke atas Kidambi Srikath Nammalwar 21-19, 6-21, 21-16.

Pada kempen Piala Thomas Mei lalu, skuad negara tewas 2-3 kepada India di peringkat suku akhir apabila dua daripada tiga pemain perseorangan kecundang, sekali gus menyaksikan negara kemarau kejuaraan selama 30 tahun.

Mengulas lanjut, Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut berbangga dengan kejayaan skuad negara yang diwakili barisan pemain muda membalas dendam kekalahan 3-1 kepada India di Gold Coast 2018 yang ketika itu menyaksikan Datuk Lee Chong Wei tewas.

"Di Gold Coast, India yang ketika itu dibarisi pemain muda seperti Srikanth dan beregu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menewaskan pemain senior kita.

"Namun pencapaian malam ini, ia ibarat satu kejayaan balas dendam dilakukan pemain muda kita," katanya yang berharap semua pihak memberi sokongan padu kepada barisan pemain muda negara bagi memburu lebih banyak kejayaan pada masa depan.

Pada masa sama, Norza mengakui beban dipikul sukan badminton pada temasya Birmingham 2022 kali ini sudah berkurangan susulan kejayaan memenangi emas bagi acara berpasukan campuran itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemain negara yang dilihat masih dahagakan kejayaan mampu memberi persembahan terbaik dalam dalam acara individu yang bermula hari ini, sekali gus memenuhi sasaran dua emas dari badminton.

Hasil kejayaan malam tadi, Malaysia memenangi empat emas badminton dalam lima temasya terakhir Sukan Komanwel sejak Melbourne, Australia pada 2006.

Sebelum ini, skuad negara turut menang di New Delhi 2010 dan Glasgow 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 4:24 PM