PETUGAS kesihatan bersiap sedia untuk melakukan ujian calitan Covid-19 di Beijing. FOTO AFP
PETUGAS kesihatan bersiap sedia untuk melakukan ujian calitan Covid-19 di Beijing. FOTO AFP
Agensi

Beijing: Sebahagian kawasan di Xi'an di barat laut China yang memiliki 13 juta penduduk dikenakan perintah berkurung pada Rabu selepas negara itu melaporkan kes penularan pertama subvarian Omicron yang menular pantas di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Bandar itu merekodkan 18 kes jangkitan Covid-19 bermula Sabtu hingga Isnin lalu yang dikaitkan dengan subvarian Omicron BA.5.2, menurut pegawai kawalan penyakit tempatan.

BA.5.2 adalah subvarian bagi BA.5 yang kini sudah menjadi dominan di AS yang boleh menghalang tindak balas antibodi dalam kalangan individu yang sebelum ini dijangkiti Covid-19, dan sudah divaksinasi, menurut penyelidik.

Ini adalah jangkitan pertama subvarian dilaporkan di China yang menjadi negara mengamalkan polisi sifar Covid-19.

Pada Selasa, pegawai Xi'an mengumumkan beberapa sekatan untuk menyekat sebahagian aktiviti di bandar itu selama tujuh hari bermula Rabu.

Hiburan, sukan dan acara kebudayaan termasuk bar, panggung wayang, gimnasium, perpustakaan dan muzium ditutup.

Makan di restoran dan berkumpul beramai-ramai selain acara perkahwinan dan persidangan juga dilarang.

Acara keagamaan juga tidak dibenarkan, menurut pegawai bandar itu, Zhang Xuedong dalam sidang media pada Selasa.

Taska, sekolah rendah dan menengah juga diarahkan untuk memulakan cuti musim panas lebih awal, manakala kampus di universiti juga ditutup.

Pihak berkuasa juga mengawal sembilan penempatan penduduk yang dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi dan mereka tidak dibenarkan meninggalkan kediaman.

"Langkah kawalan sementara selama tujuh hari itu bertujuan untuk menenangkan masyarakat selain mengurangkan mobiliti serta dan risiko jangkitan," kata Zhang.

Pengumuman itu mencetuskan kekecohan dalam kalangan beberapa penduduk Xi'an yang kebanyakannya masih mengingati kekacauan yang berlaku susulan sekatan ketat selama sebulan di bandar itu antara Disember tahun lalu hingga Januari tahun ini.

Ketika sekatan di seluruh bandar itu, penduduk membuat aduan kekurangan makanan serta berlakunya beberapa kejadian menyayat hati membabitkan pesakit kritikal termasuk wanita hamil yang dinafikan rawatan perubatan menyebabkan kemarahan di seluruh negara.

Pada malam Selasa, gambar dan video yang disiarkan penduduk Xi'an, di media sosial, menunjukkan ramai pelancong membawa beg beg pakaian di luar stesen kereta api untuk bergegas meninggalkan bandar itu.

Di daerah Changan di bandar itu, penduduk diarah menjalani ujian Covid-19 secara besar-besaran bermula tengah malam hingga 6 pagi pada Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 6:30 AM