BERSYUKUR dipilih berlakon Dendam Seorang Isteri tanpa jumlah pengikut media sosial yang ramai.
BERSYUKUR dipilih berlakon Dendam Seorang Isteri tanpa jumlah pengikut media sosial yang ramai.
Ridzuan Abdul Rahman


NAMA Wan Raja sebelum ini seakan-akan tidak wujud walaupun sudah lama terbabit dalam bidang lakonan.

Namun, situasinya berbeza sebaik drama bersiri Dendam Seorang Isteri yang menggandingkannya dengan nama besar antaranya Fasha Sandha dan Nad Zainal ditayangkan.

Wan Raja berkata, baru kini dia benar-benar merasai apa yang dikatakan nikmat populariti seorang pelakon.

"Saya tak nafikan sebelum ini orang tak kenal dan tak pernah tahu pun kewujudan Wan Raja dalam industri walaupun dah berbelas tahun saya berlakon.

"Kebanyakannya mula perasan dan kenal saya apabila menonton cerita Dendam Seorang Isteri. Watak jahat sebagai Harris yang dibawakan saya buat mereka benci.

"Apabila dah dikenali, yang puji dan ucap tahniah serta tak kurang juga yang kecam. Apa-apa pun saya bersyukur kerana dapat perhatian penonton," katanya.

Pelakon berasal dari Pulau Pinang yang lebih selesa merendah diri ini berkata, dia bukanlah hebat sebaliknya menumpang nama Fasha dan Nad.

"Jujurnya saya memang menumpang populariti mereka. Apabila penerbit drama Radius One mengumumkan nama saya terbabit dalam drama ini di media sosial, ramai peminat yang bantah.

"Mereka kata kononnya saya tak sesuai kerana tak kacak, tak popular dan sebagainya. Namun bersyukur kerana Fasha dan Nad pertahankan saya di situ. Alhamdulillah, rezeki saya dapat bergandingan dengan dua pelakon wanita hebat ini. Kerjasama mereka amat fantastik," katanya.

Pada masa sama, Wan Raja juga berterima kasih kepada Radius One yang memberi peluang kepadanya.

"Mereka buka ruang untuk saya walaupun tanpa kelebihan jumlah pengikut media sosial yang banyak berbanding orang lain.

"Ini adalah rezeki saya. Sepanjang belasan tahun berlakon, cuma ada dua orang yang berani tawarkan watak penting sebegini iaitu produksi Radius One dan pengarah Kabir Bhatia," katanya.

Wan Raja yang juga suami kepada pelakon, Yaya Maembong kini terpaksa menepis pelbagai tawaran yang datang kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak.

"Sekarang saya sedang menjalani penggambaran siri mini untuk Astro Original berjudul Liar genre 'thriller' penyiasatan terbitan Double Vision. Ia adaptasi daripada drama bersiri BBC.

"Pada masa sama, saya buat supertele berjudul Dalang. Cukuplah saya fokus buat dua ini. Saya terima pun kerana ada jarak masa untuk kedua-duanya. Ada tawaran lain tapi saya tak berani nak ambil takut menyusahkan semua orang jika jadual bertindih," katanya.

Biarpun gembira, ada kebimbangan di hati Wan Raja apabila banyak tawaran produksi besar untuk watak baik tidak diluluskan stesen TV atas alasan dia tak sesuai membawakan watak sebegitu.

WAN RAJA ingin mencuba karakter berbeza sekiranya diberi peluang.
WAN RAJA ingin mencuba karakter berbeza sekiranya diberi peluang.

"Saya reda kerana mungkin penampilan daripada raut wajah antara faktornya, tapi dalam hati, saya kecewa juga kerana saya pelakon.

"Kalau bagi sesuatu naskhah pun, tugas saya ialah nak merealisasikan. Kalau watak baik, baiklah dia, kalau jahat, jahatlah dia dan kalau lembut, lembutlah dia.

"Ikutkan watak Harris yang saya bawa bukanlah jahat sangat tapi lebih kepada nakal. Harris salah seorang pembawa cerita. Saya bawa cara provokatif supaya orang kecam," katanya.

Semasa awal Syawal, tiga drama lakonan Wan Raja ditayangkan menerusi tiga saluran berbeza iaitu Dendam Seorang Isteri di Astro Prima, Khilaf Asmara (TV3) dan Kau Bukan Hakimku (RTM).

"Nampak macam saya berjaya sekarang. Padahal ia hanya kebetulan. Ada juga cerita yang dah lama siap tapi kebetulan disiarkan pada masa sama.

"Kebetulan semua watak yang dibawakan ialah antagonis dan nakal. Jadi orang anggap saya hanya sesuai dengan watak sebegini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 7:00 AM