Ziema Din
Ziema Din
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon drama bersiri Dendam Seorang Isteri, Ziema Din menganggap kecaman yang diterima apabila melakonkan watak sebagai Datin Mona adalah maklum balas yang baik untuk dia sebagai pelakon.

Ziema berkata, sebagai pelakon itu membuatkannya rasa puas kerana dapat meneliti penerimaan peminat akan lakonannya sebagai watak jahat.

"Alhamdulillah. Kiranya, apa yang saya rancang dan kaji untuk menjayakan watak itu nampaknya membuatkan hasil. Untuk watak Mona, memang saya cipta satu karakter yang sebegitu.

"Bila orang kecam dan beritahu saya bahawa mereka rasa sangat marah dengan Mona, saya rasa puas dan gembira kerana itu bermakna saya berjaya membawakan watak itu," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai rujukannya dalam menjayakan watak itu, Ziema berkata, dia sentiasa mencari idea baharu untuk memberikan transisi dalam watak Mona.

"Saya tak ada rujukan, sebaliknya memang akan cipta watak itu berdasarkan kajian yang saya buat sendiri. Ada draf juga yang saya buat, jadi setiap kali perlu ditambah baik, saya akan pastikan ia berkembang. Jadi, bila penonton tengok dari episod pertama sehingga episod ke-80 nanti, mereka akan dapat melihat sendiri transisi watak Mona itu," katanya.

Ziema juga tidak terkecuali daripada menerima mesej-mesej maki hamun di media sosial.

"Memang ada mesej-mesej yang saya terima. Ada yang melemparkan kata-kata kesat bahkan memaki hamun saya di media sosial.

Namun, ada juga yang meminta maaf dan berkata mereka meminati lakonan saya," katanya.

Selain Ziema, drama Dendam Seorang Isteri juga turut dibintangi Fasha Sandha, Nad Zainal, Wan Raja dan Aidit Noh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 1:28 PM