FASHA dan Nad.
FASHA dan Nad.
Zaara Talita


DISIPLIN dan komited terhadap kerjaya antara rahsia pelakon jelita, Fasha Sandha terus menjadi pilihan penerbit.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan berkata, cara kerja dan disiplin yang diamalkan membuatkan pihak produksi senang untuk bekerjasama dengannya.

Biarpun ramai lagi bakat baharu yang lebih cantik, namun pelakon berusia 37 tahun ini menganggap tawaran yang diterima itu rezeki untuknya.

"Saya sangat berbesar hati apabila masih diterima dan diberikan pelbagai peluang lain sepanjang berada dalam bidang seni sejak dulu hingga kini. Apa yang paling penting ialah keikhlasan kita dalam melakukan sesuatu tugas yang diberikan tak kira dalam lakonan atau bidang lain.

"Saya percaya untuk terus berjaya, perlu mengekalkan cara kerja dan berdisiplin dalam menjayakan sesuatu naskhah. Tak susah pun hendak bekerja dengan saya, cuma saya tidak suka membuat orang menunggu.

"Sejak kecil, saya sudah diterapkan dengan disiplin yang tinggi. Ini yang mana ketika di bangku sekolah dulu pun saya melaksanakan amanah sebagai pengawas.

"Jadi, bukan sebagai pelakon saja, ketika bekerja sebagai model lagi saya sudah menitikberatkan aspek-aspek ini. Jadi, tidak kira bentuk tubuh saya, Alhamdulillah. masih menjadi pilihan penerbit," katanya.

Malah, komitmen dan disiplin Fasha turut menjadi sumber inspirasi buat suaminya, Aidil Aziz, 35, yang turut berkecimpung dalam bidang lakonan.

Fasha ditemui di majlis tontonan episod kemuncak drama bersiri Dendam Seorang Isteri yang bertempat di Panggung Asia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

FASHA (dua dari kanan) bersama sebahagian daripada pelakon Dendam Seorang Isteri.
FASHA (dua dari kanan) bersama sebahagian daripada pelakon Dendam Seorang Isteri.

Berkongsi mengenai kejayaan naskhah terbabit, Fasha tidak menjangka sambutan memberangsangkan daripada penggemar drama tempatan.

"Alhamdulillah.. saya sendiri tidak sangka daripada 80 episod, akhirnya kami menambah kepada 85 episod pula. Setiap naskhah yang saya jayakan mempunyai cabaran dan kelebihan tersendiri.

"Bukan mudah untuk saya menjayakan dua watak dalam masa sama. Syukur kerana peminat dapat memberikan maklum balas positif terhadap lakonan saya.

"Lebih menarik, drama ini turut mencatatkan jumlah rating tertinggi iaitu 5.5 juta tontonan. Selepas sekian lama, akhirnya drama ini menamatkan siaran pada Jumaat lalu," kata Fasha.

Drama terbitan Radius One Sdn Bhd itu mula ditayangkan di Astro Ria pada Mac lalu dan mendapat sambutan baik daripada penonton.

Sementara itu, laman Twitter turut dipenuhi dengan reaksi penonton yang kebanyakannya memuji lakonan Fasha dan aktres, Nad Zainal.

Selain Fasha dan Nad, drama berkenaan turut dibintangi Wan Raja, Roy Azman, Amylea, Aidit Noh dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 6:17 AM