Aidit Noh (kiri) bersama pengarah (tengah) dan pelakon drama Dendam Seorang Isteri.
Aidit Noh (kiri) bersama pengarah (tengah) dan pelakon drama Dendam Seorang Isteri.
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Penggambaran drama bersiri Dendam Seorang Isteri dihentikan serta merta selepas pelakon, Aidit Noh dan kru produksi disahkan positif Covid-19, kelmarin.

Penerbitnya, Shahrulezad Mohameddin berkata, syarikat produksi Radius One Sdn Bhd mengambil tindakan segera memandangkan penularan varian Omicron lebih pantas berbanding sebelum ini.

"Untuk drama ini, ada dua pasukan penggambaran dan apabila dimaklumkan Aidit serta kru ada yang positif, kedua-dua pasukan menghentikan aktiviti penggambaran.

"Walaupun mereka yang positif pada awalnya tak mengalami sebarang gejala awal, kami tak mahu mengambil risiko dan menjemput pegawai perubatan untuk menjalankan ujian. Jadi, selepas ujian dibuat, ada beberapa kru yang turut positif dan kami tetapkan proses kuarantin selama 10 hari," katanya kepada Harian Metro.

Shahrulezad dan pasukannya bagaimanapun tidak panik memandangkan ini bukan kali pertama mereka berdepan situasi itu.

"Kali kami tak panik seperti sebelum ini sebab sudah ada pengalaman dengan prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.

"Saya dan pasukan sudah bersiap sedia dari awal lagi. Memang dalam fikiran, saya sudah tetapkan bahawa kami perlu bersedia kerana berkemungkinan ada masanya kami terpaksa berdepan situasi ini.

"Apa pun, saya bersyukur kerana kami dapat mengesan awal dan mengambil tindakan segera. Pihak Astro pun faham dan tak ada sebarang masalah," katanya.

Harian Metro cuba mendapatkan Aidit, namun dia belum memberi sebarang jawapan dan maklum balas.

Selain Aidit, drama 80 episod arahan Nizam Zakaria dan Uchee Fukada itu juga turut dibintangi Fasha Sandha, Wan Raja, Nad Zainal dan ramai lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 3:56 PM