FOTO fail menunjukkan Muhammad Irfan Mikail berpeluang menaiki pesawat pejuang TUDM. FOTO Ihsan TUDM.
FOTO fail menunjukkan Muhammad Irfan Mikail berpeluang menaiki pesawat pejuang TUDM. FOTO Ihsan TUDM.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Remaja pengidap kanser leukemia ALL (leukemia limfoblastik akut) Muhammad Irfan Mikail Mohd Shukri, 15, menghembuskan nafas terakhirnya, malam tadi.

Allahyarham meninggal dunia pada 12.30 tengah malam di rumahnya di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar, Perlis.

Khabar duka itu disahkan Presiden Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan) Maznah Tayib menerusi hantaran di Facebook.

"Telah pulang seorang wira kanser kepada Maha Pencipta sebentar tadi, Muhamad Irfan Mikael Mohd Syukri yang menghembuskan nafas terakhir tepat jam 12.30 malam di kediaman keluarganya di Guar Syed Alwi kangar Perlis.

"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan dalam kalangan para syuhada," katanya menerusi hantaran berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan hasrat remaja berkenaan yang bercita-cita mahu menjadi juruterbang bagi menaiki pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Rabu lalu, hasratnya ditunaikan TUDM oleh No 15 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dan bantuan Kolej Tentera Udara yang mengkoordinasi bersama pihak Foccan.

Muhammad Irfan yang diiringi ibu dan bapanya, Mazatul Rohana Saleh, 50, dan Mohd Shukri Talib, 54, serta abangnya Mohd Adam Hakimi, 19, dibawa dari kediaman mereka di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar Perlis ke Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Muhammad Irfan turut dibawa melawat ke Pusat Simulator Pejuang dan merasai pengalaman mengendalikan simulator F/A-18D.

Berita berkaitan

'Irfan sangat gembira' - ibu remaja kanser tahap akhir

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 9:03 AM