JALAN Kota Bharu-Kuala Krai. FOTO Arkib NSTP
JALAN Kota Bharu-Kuala Krai. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Menjelang sambutan Aidilfitri, laluan di lebuh raya utama sesak dengan lambakan kenderaan orang ramai yang mahu pulang ke kampung halaman.

Malah, kesesakan lalu lintas di lebuh raya mula dilihat bermula petang Jumaat lalu dan berterusan hingga kini.

Bagaimanapun, aspek keselamatan juga perlu diberi perhatian kerana ramai yang menanti kepulangan keluarga tersayang.

Ikuti wawancara bersama Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman SUPERINTENDAN DR BAKRI ZAINAL ABIDIN bersama wartawan, NURUL HIDAYAH BAHAUDIN berhubung pelaksanaan Operasi Selamat ke-18 (Op Selamat 18).

Tahun ini, jumlah orang ramai yang pulang ke kampung halaman pasti berkali ganda. Peningkatan jumlah kenderaan di atas jalan bermakna ada kemungkinan peningkatan jumlah kemalangan maut?

Pada dasarnya, jumlah kenderaan yang berada di lebuh raya dijangkakan meningkat dengan luar biasa iaitu kira-kira lima juta kenderaan sehari.

Kelmarin, 5.4 juta kenderaan direkodkan berada di lebuh raya dan ia melebihi jangkaan kami iaitu lima juta kenderaan.

Contoh, di Plaza Tol Gombak, kita mendapati kesesakan lalu lintas bertali arus bermula tengah malam semalam kerana orang ramai mahu mengambil peluang mendapatkan pengecualian bayaran tol dan keadan ini (sesak) turut dilaporkan di Lebuhraya Utara-Selatan serta Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Bagaimanapun, kita menjangkakan, walaupun ada pertambahan kenderaan di lebuh raya ini, jumlah kemalangan maut dijangkakan rendah kerana kenderaan bergerak perlahan.

Bagaimanapun, pertambahan aliran kenderaan ini akan meningkatkan jumlah kemalangan kecil terutama yang berlaku ketika kenderaan hendak masuk ke simpang serta langgar belakang (kenderaan).

Berapa banyak lokasi kemalangan maut yang sudah dikenal-pasti untuk ditempatkan lebih ramai anggota?

Dianggarkan 20 lokasi kemalangan maut dikenal pasti dan ia membabitkan lokasi di Kelantan, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan.

Ini termasuk di Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Jalan Batu Pahat-Mersing, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dan Jalan Kuantan-Johor Bahru.

Apa fokus operasi sekatan jalan raya serta penguatkuasaan kali ini?

Tumpuan kita untuk Op Selamat kali ini adalah untuk membantu menyuraikan aliran trafik yang melebihi jangkaan.

Pada masa sama, kita juga memberikan advokasi kepada pengguna supaya mematuhi peraturan jalan raya selain menempatkan petugas di beberapa lokasi terpilih di semua lebuh raya utama.

Lebih banyak sekatan jalan raya ketika musim perayaan menyebabkan lebih banyak kesesakan?

Dalam Op Selamat, tiada sekatan jalan raya dibuat dan pemeriksaan penguatkuasaan hanya dilakukan di luar waktu puncak bagi mengelakkan kesesakan.

Ini kerana, kita memberi tumpuan kepada penyuraian aliran trafik, namun tindakan penguatkuasaan tetap diambil kepada pengguna jalan raya.

Ia terutamanya membabitkan lima kesalahan utama iaitu menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, melanggar lampu isyarat serta memandu melebihi had laju.

Tindakan itu diambil kerana lima kesalahan utama ini memberi kesan psikologi kepada pengguna jalan raya lain sekali gus menyebabkan tekanan dan provokasi disebabkan perbuatan melakukan kesalahan berkenaan.

Nasihat untuk pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan ini?

Saya menyeru pengguna jalan raya supaya bersabar kerana kesabaran kali ini adalah lebih besar berikutan kesesakan trafik yang luar biasa.

Pengalaman memandu lebih lama iaitu mungkin lebih berbelas jam juga mendatangkan impak kepada kenderaan yang mungkin menyebabkan ia tersadai.

Disebabkan itu, kita sudah menasihati pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berfungsi dengan baik supaya perjalanan pulang ke kampung halaman berjalan lancar.

Ingin saya tekankan kepada pengguna jalan raya supaya melakukan penguatkuasaan kendiri yang membolehkan kita lebih banyak bersabar, patuh pada peraturan dan tidak membuat provokasi.

Jika tindakan penguatkuasaan kendiri kita kuat, tidak akan timbul masalah yang akan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 7:05 AM