SITI Nurhaliza mahu rasai kemeriahan sambutan bersama keluarga namun masih rasa takut
SITI Nurhaliza mahu rasai kemeriahan sambutan bersama keluarga namun masih rasa takut
Zaara Talita

SAMA seperti insan lain, penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin tidak terkecuali berkongsi keterujaan untuk menyambut Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Setelah dua tahun negara berdepan pandemik bagi mengekang Covid-19, Aidilfitri tahun ini bakal disambut dengan meriah.

Siti atau lebih mesra dengan sapaan Tokti berkata keterujaan itu lebih terasa dengan kehadiran dua cahaya mata kesayangan iaitu Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa serta suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K.

"Kalau ikutkan setiap tahun di rumah memang kita ada bersembahyang terawih bersama-sama. Walaupun pandemik dan tidak dapat berkumpul namun kita bersembahyang bersama ahli keluarga terdekat.

"Sekarang membuatkan kita lebih teruja apabila dapat pulang ke kampung, dapat beraya ziarah-menziarahi. Ini adalah sesuatu yang dinantikan, saya juga tidak terkecuali untuk beraya tahun ini.

"Boleh rasa kemeriahan itu, namun tidak dinafikan rasa takut itu masih ada. Saya juga tidak mengambil peluang untuk pulang ke kampung pada awal Ramadan lalu kerana jalan sesak teruk," kata Tokti.

Dalam pada itu, penyanyi yang mula mencipta nama selepas memenangi pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini (MHI) 1995 itu juga sempat berkongsi perancangan pulang ke kampung selepas keadaan jalanraya kembali reda.

Tokti menjelaskan, dia memberi ruang kepada warga kota untuk pulang ke kampung terlebih dahulu. Apatah lagi, dia mempunyai dua anak yang masih kecil untuk bersesak di jalanraya.

Bercerita lanjut mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, Siti berkata, dalam situasi sekarang, mereka sekeluarga meraikannya secara sederhana.

SITI mengakui meraikannya lebaran secara sederhana secara sederhana.
SITI mengakui meraikannya lebaran secara sederhana secara sederhana.

"Perancangan pada tahun ini adalah untuk berkumpul di Kuala Lumpur saja dulu. Apabila keadaan reda nanti baru kami akan pulang ke kampung. Hendak 'travel' bersama anak kecil ini bukan perkara mudah.

"Mengenai baju raya pula, jika tahun lalu saya hanya menempah satu baju saja untuk digayakan pada hari raya pertama. Tahun ini memandangkan ada Afiyah dan Afwa serta boleh menziarah, saya tempah dalam tiga saja.

"Lebih menarik, Afwa pada tahun ini sudah boleh berjalan dan boleh beri dia bergaya sedikit. Jika sebelum ini, Afwa lebih kecil dan hanya bangun tidur saja. Kali ini, kemeriahan itu berbeza buat kami sekeluarga.

"Alhamdulillah, kami memilih untuk bergaya sedondon. Datuk K memilih warna 'pink carnation', malah saya sendiri terkejut dengan warna pilihannya.

"Selain itu, busana lain yang dipilih adalah hijau lumut yang mana adalah rona kegemaran saya. Daripada segi persiapan, tahun ini tidaklah begitu beriya-iya sangat. Semuanya serba sederhana," kata Siti ketika ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pelantikan dirinya sebagai duta jenama Binary University, baru-baru ini.

Bagaimanapun, jelas pelantun lagu Jerat Percintaan itu lagi, penghasilan lagu raya yang diluncurkan tersebut sudah menjalani proses perbincangan menyeluruh dengan syarikat rakaman, Universal Music Malaysia.

"Apapun produk yang dihasilkan, kita sudah berbincang dan sama-sama sepakat dengan hasil akhirnya. Normal untuk orang komen dan memberikan pendapat.

"Mana yang suka, alhamdulillah. Mana yang tak suka, mesti ada bahagian yang mereka rasa boleh jadi lebih bagus.

"Suarakan sahajalah pendapat kalian tapi apa yang boleh saya kata di sini, kami yang menjalin kerjasama dengan pihak profesional seperti Universal, kami memang dah capai kata sepakat," katanya.

Tambah Siti, sebagaimana rasa prihatin peminat buat dirinya demi kelangsungan kerjaya, begitu juga rasa hormat dan apresiasi dikembalikan kepada mereka.

"Mereka (peminat) ambil berat. Kita nak marah, kita sabar. Nak cakap lebih, kita bersabar sahajalah.

"Mereka prihatin sampai saya rasa kalau boleh, konsep album pun mereka nak tentukan. Semualah mereka nak buat.

"Orang masih ambil berat, sayang dan akui bakat seni saya. Kalau mereka tak sayang, mereka mungkin akan fikir, 'lantak pi lah Siti nak buat apa pun kan'," katanya.

Single terbaru ini berkisar kemeriahan sambutan Aidilfitri selepas dua tahun umat Islam di Malaysia meraikan hari kemenangan dalam norma baharu akibat pandemik.

Lip Lap Raya mendapat sentuhan Ajay Amai, Glow Rush, Karim Karam dan Mike Chan. Istimewanya lagu itu menggabungkan rentak inang, canggung dan diselitkan elemen dikir barat.

Penerbitnya, Glow Rush, berkata keistimewaan lagu Lip Lap Raya adalah pada gabungan elemen tradisional dan moden seperti penggunaan drama elektronik, synthesizer yang digabungkan bersama kemantapan vokal Siti.

Lip Lap Raya diterbitkan Siti Nurhaliza Production (M) Sdn Bhd dan Universal Music Malaysia sebagai penerbit bersama.

Video muzik Lip Lap Raya boleh ditonton di saluran YouTube Siti Nurhaliza manakala lagu Lip Lap Raya boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 6:00 AM