Seorang lelaki menziarah kubur di Karachi, Pakistan. - FOTO REUTERS
Seorang lelaki menziarah kubur di Karachi, Pakistan. - FOTO REUTERS
Agensi

Karachi: Ibu kota Pakistan, Karachi menghadapi kekurangan tanah untuk perkuburan bagi mengebumikan jasad mereka yang meninggal dunia.

Agensi berita, ANI melaporkan Karachi yang mempunyai kepadatan penduduk 20 juta orang hampir habis ruang perkuburan.

Pekerja Persatuan Perumahan Koperasi Pakistan (PECHS) mendedahkan tanah perkuburan secara rasmi penuh untuk tempoh lima tahun.

"Tiada ruang langsung untuk tanah perkuburan baharu di Karachi. Apa perlu kita lakukan, kita kena musnahkan kubur lama jika mahu mencipta yang baharu," kata penggali kubur, Khalil Ahmed.

Bayaran pengebumian ditetapkan kerajaan dalam wilayah itu ialah 7,900 rupee (RM438), tetapi dua penduduk tempatan mendakwa membayar 55,000 rupee (RM3,051) dan 175,000 rupee (RM9,710) untuk mengebumikan orang tersayang di tanah perkuburan PECHS tahun lalu, lapor Geo News.

Ahmed dan rakannya digelar sebagai 'mafia penggali kubur' oleh sebahagian ahli politik dan media dalam perbahasan hal ehwal sosial Pakistan.

Tetapi penggali kubur bebas mendapat keuntungan daripada perubahan populasi Pakistan, lapor Geo Berita.

Pakistan adalah negara kelima di dunia mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi iaitu 220 juta rakyat dan lebih daripada empat juta ditambah setiap tahun.

Apabila populasi bertambah, begitu juga penghijrahan orang dari luar bandar ke bandar, mencari kerja untuk melarikan diri dari kemiskinan luar bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 7:30 AM