NUR Masyitah ketika menyertai HEBAT Speaker IMPACT USM 2019 dalam kategori Pengucapan Awam.
NUR Masyitah ketika menyertai HEBAT Speaker IMPACT USM 2019 dalam kategori Pengucapan Awam.
Suliati Asri

BERBEKALKAN usaha dan disiplin, ditambah doa serta restu ibu ayah, segala yang dilakukan pastinya membuahkan hasil.

Itulah yang sentiasa menjadi pegangan pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (iKOM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Nur Masyitah Amatullah Mohd Rohizad, 22.

Mesra disapa Nur Masyitah, dia bertuah kerana dapat menimba ilmu dalam bidang yang cukup digemari sambil meneroka dunia penyiaran dan pengacaraan yang sememangnya sangat diminatinya melalui aktiviti di universiti.

"Saya sentiasa berharap dapat terbabit dengan banyak perkara terutama dalam bidang pendidikan dan pengacaraan serta dunia komunikasi.

"Justeru, peluang yang ada tidak akan disia-siakan dan akan sentiasa berusaha untuk terus melakukan yang terbaik sekali gus mencapai hasrat bagi menakluki dunia media baharu dan berjaya dalam bidang pengacaraan," katanya.

Berkongsi mengenai program yang dipelajarinya, Nur Masyitah berkata, iKOM adalah program pengajian baharu di UniMAP bermula 2014 dengan durasi pengajian selama tiga tahun.

NUR Masyitah sering dijemput menjadi pengacara majlis dalam sesuatu program.
NUR Masyitah sering dijemput menjadi pengacara majlis dalam sesuatu program.

"Komunikasi Media Baharu ini memberi penekanan kepada tiga aspek iaitu komunikasi, teknologi media serta kemahiran keusahawanan dan ia juga dikenali sebagai 'hibrid course.'

"Jadi, sebagai pelajar iKOM, saya akan mempelajari perkara asas dalam bidang komunikasi antaranya seperti teori komunikasi, pengucapan awam, penulisan skrip, perhubungan awam dan literasi media baharu," katanya.

Nur Masyitah berkata, bagi elemen teknologi pula, pelajar akan didedahkan dengan teknologi berkaitan grafik, penerbitan video, animasi, rekabentuk audio, fotografi digital dan pembangunan web.

"Menerusi elemen keusahawanan pula, kami didedahkan dengan ilmu asas keusahawanan, pemasaran dan pengiklanan digital yang mana kesemua yang dipelajari berkaitan dengan teknologi media baharu sesuai dengan peredaran masa kini.

"Justeru, saya memperoleh banyak input selama tempoh lima semester menjadi salah seorang pelajar kursus iKOM," katanya.

Bersesuaian dengan skop pengajiannya dan minatnya terhadap dunia penyiaran dan pengacaraan, Nur Masyitah bermula sebagai penyampai UniMAP fm menyertai Kelab Penyiaran UniMAP.

Nur Mashitah berkata, sebagai penyampai radio dan berita, dia banyak merujuk dan melihat video YouTube serta trend terkini untuk mendapat idea yang interaktif serta mempunyai unsur 'fun' supaya apabila ke udara (on-air) ia menjadi lebih seronok dikendalikan dan pendengar berminat untuk mengikuti apa yang disampaikan.

NUR Masyitah dan rakan bergambar kenangan selepas memenangi Kategori Pasukan Infografik Terbaik dan Persembahan Terbaik dalam pertandingan OSEM di UUM.
NUR Masyitah dan rakan bergambar kenangan selepas memenangi Kategori Pasukan Infografik Terbaik dan Persembahan Terbaik dalam pertandingan OSEM di UUM.

"Pembabitan saya dalam dunia pengacaraan membuka peluang yang besar kepada saya untuk memperluaskan lagi kemampuan dalam bidang pengacaraan apabila diberi kepercayaan mengacarakan program luar serta dalam universiti.

"Antara yang saya tidak dapat dilupakan adalah peluang menemu bual beberapa ahli korporat dan syarikat ketika menjadi pengacara pada Northern Industrial Career Engagement (NICE 4).

"Peluang yang diberikan itu secara tidak langsung membantu saya untuk tampil dan bercakap dengan lebih yakin dengan pelbagai pihak," katanya.

Minatnya terhadap dunia pengacaraan nyata semakin mendalam apabila dia berjaya memenangi pelbagai pertandingan dan diberi kepercayaan untuk mengacarakan program besar di dalam dan luar UniMAP.

Antara pencapaian terbaiknya termasuklah Johan Pencarian Bakat Motivator 2019, finalis HEBAT Speaker IMPACT USM 2019 dalam kategori pengucapan awam, peserta Intervarsity Young Motivator Competition (IMAC 2019) dan Pemenang Pasukan Infografik Terbaik Best dan Persembahan Kumpulan Terbaik Program OSEM (Seminar Pengajian Media 2019) Universiti Utara Malaysia.

"Sepanjang tahun lalu juga, saya diberi kepercayaan untuk menjadi suara latar (VO) video untuk Pameran Kejuruteraan UniMAP dan menjadi juruacara untuk program E-Coaching Program (I CAN SPEAK : Absolutely Correction) 2020.

"Saya juga berpeluang menjadi pengacara Bahasa Inggeris untuk program secara langsung Astro Awani bagi pertandingan Piala Debat Diraja antara IPT dan IPTS 2019, Pengacara Majlis (Emcee) Northern Industrial Career Engagement (NICE 4) 2019 dan Suara Latar (Voice Over) untuk E-Waste for Indonesia-Malaysia-Thailand Triangle Program (IMTGT) 2019 yang nyata mematangkan cara penyampaian saya," katanya.

Menjadi pelajar dan dalam masa yang sama aktif dalam pelbagai aktiviti bukanlah sesuatu yang mudah dan penuh dengan cabaran.

Justeru, dengan usaha dan disiplin serta pengurusan masa yang betul, semua cabaran yang dihadapi boleh diatasi.

Nur Masyitah berkata, pembahagian masa, persekitaran serta orang sekeliling antara cabaran yang dihadapi bukan kepada dirinya saja tetapi juga pelajar lain.

Katanya, di pertengahan pengajian semester, jadual belajar dan aktivitinya sangat padat kerana penuh dengan kelas serta terbabit dalam pelbagai aktiviti.

"Di sini, saya perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan aktiviti lain supaya tidak terlepas maklumat penting terutamanya 'dateline' tugasan.

"Semakin kita dewasa, persekitaran akan berubah dan untuk membiasakan diri dengan persekitaran baharu bukan sesuatu yang mudah.

NUR Masyitah (tiga dari kiri) bergambar bersama ahli Exco Pelajar Antarabangsa MPP, UniMAP.
NUR Masyitah (tiga dari kiri) bergambar bersama ahli Exco Pelajar Antarabangsa MPP, UniMAP.

KELUARGA adalah pendorong dan sumber kekuatan Nur Masyitah untuk terus berjaya dalam pelajaran dan bidang yang diminatinya.
KELUARGA adalah pendorong dan sumber kekuatan Nur Masyitah untuk terus berjaya dalam pelajaran dan bidang yang diminatinya.

"Peringkat universiti lebih mencabar. Bagaimanapun, ia adalah platform terbaik untuk membentuk serta mematangkan diri," katanya.

Sokongan dan dorongan daripada insan tersayang nyata memainkan peranan penting dalam kejayaan yang dikecapi sesiapa saja.

Nur Masyitah nyata bertuah kerana sentiasa mendapat dorongan yang kuat daripada keluarga terutama ibu dan bapanya.

"Dalam bidang pengucapan awam, ayah banyak memberikan tip berkenaan perkara yang harus saya lakukan sejak di bangku sekolah lagi manakala ibu pula, banyak memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada saya.

"Dengan itu, saya nekad untuk sentiasa dapat terbabit dengan banyak perkara terutama dalam bidang pendidikan dan pengacaraan serta dunia komunikasi," katanya yang suka meluangkan masa bersama keluarga dan kawan-kawan di waktu lapang.

Ditanya mengenai perancangannya di masa hadapan, Nur Masyitah yang sentiasa yakin bahawa semuanya 'mungkin' dengan izin Allah selain berhasrat meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan peringkat ijazah sarjana dan seterusnya ke peringkat doktor falsafah (PhD).

"Untuk kerjaya pula, saya ingin menceburi dalam bidang komunikasi dan pengacaraan seperti pengucapan awam atau 'spokeperson' dan sebagai pengacara. Saya juga berhasrat menubuhkan syarikat atau empayar sendiri kelak.

"Memang impian saya sejak kecil lagi untuk mengembara ke seluruh dunia suatu hari nanti dan melebarkan sayap ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya berharap agar saya akan menjadi antara 'influencer' yang berilmu iaitu bukan sahaja memberi pengaruh semata-mata namun menyebarkan ilmu yang bermanfaat terhadap orang lain sama seperti idola saya Neelofa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 7:00 AM