Redzuan Muharam

Pasir Mas: Biarpun hanya tinggal sebelah tangan selepas terbabit dalam kemalangan, komitmen seorang guru mengecat dan menghias bilik darjah nyata menarik perhatian ramai.

Mana tidaknya, walaupun dalam serba kekurangan, guru lelaki terbabit dilihat bersungguh-sungguh mengecat dinding kelas dan menghias papan kenyataan bagi menceriakan bilik berkenaan yang dilakukannya sendirian semata-mata demi menyambut kehadiran semula anak murid ke sekolah.

Abdullah Abd Kadir iaitu guru di Sekolah Kebangsaan (SK) To' Uban, di sini, ketika dihubungi Harian Metro mengakui terkejut apabila perkongsiannya di TikTok mendapat maklum balas baik daripada netizen.

"Saya memang suka menulis cuma sebelum ini hanya kongsikan di Facebook (FB) namun kini beralih ke TikTok kerana mahu luahkan dengan cara berbeza iaitu menerusi video dan audio.

"Lagipun, saya dilantik menjadi guru kelas tahun ini jadi niat berkongsi video di TikTok semalam adalah untuk beri semangat kepada diri sendiri.

"Saya mahu juga beri inspirasi kepada orang di luar sana dan kesedaran buat masyarakat supaya lebih sensitif serta peka dengan OKU (Orang Kurang Upaya)," katanya.

ABDULLAH mengecat dan menghias bilik darjah. FOTO Ihsan Abdullah Abd Kadir
ABDULLAH mengecat dan menghias bilik darjah. FOTO Ihsan Abdullah Abd Kadir

Berkongsi detik yang meragut tangan kanannya, Abdullah mengakui masih tidak dapat melupakan kisah hampir meragut nyawanya apabila kereta dipandu terhumban di dalam gaung selepas terbabas dekat satu laluan dekat Bentong, Pahang, empat tahun lalu.

Katanya, ia kerana kemalangan itu mengubah hidupnya daripada individu normal menjadi OKU selepas kudung tangan kanan.

Abdullah yang mengajar subjek Pendidikan Islam mengakui bukan mudah hidup dengan sebelah tangan pada awalnya namun cekalkan diri hingga dapat menyesuaikan diri seperti sekarang.

"Pada mulanya, saya ditugaskan mengajar di SK Bangsar, Kuala Lumpur tetapi tidak sampai setahun kerana terbabit dalam kemalangan ketika perjalanan pulang dari Kelantan ke ibu kota selepas habis cuti penggal.

"Kereta saya terbabas di dalam gaung, tiada siapa tahu hingga terpaksa bertahan di dalam kereta selama lebih sejam kerana menunggu bantuan anggota penyelamat yang pada awalnya tidak dapat menjejaki lokasi saya berada. Ketika itu, saya sendiri yang menghubungi talian kecemasan dan alhamdulillah dipanjangkan umur," katanya.

GAMBAR  kenangan Abdullah bersama murid sebelum bergelar OKU. FOTO Ihsan Abdullah Abd Kadir
GAMBAR kenangan Abdullah bersama murid sebelum bergelar OKU. FOTO Ihsan Abdullah Abd Kadir

Abdullah berkata, dia diberi cuti sakit selama lima bulan sebelum menyambung semula tugas sebagai guru.

Katanya, pada awalnya dia ditugaskan mengajar di sekolah yang sama namun ditukarkan ke SK To' Uban seperti yang diinginkan selepas perkongsian di FB tular hingga mendapat perhatian mantan Menteri Pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik.

"Pada 15 Ogos 2018, saya mulakan tugas di SK To' Uban dan sebelum kembali mengajar, saya sudah buat latihan menulis dengan tangan kiri sejak dua minggu selepas kemalangan.

"Latihan awal dilakukan kerana sedar tugas sebagai guru menuntut saya untuk menulis jadi perlu bersiap sedia.

"Alhamdulillah, selain menulis, saya selesa lakukan semuanya sendiri malah boleh memandu kereta dan menunggang motosikal. Saya berasa hidup normal macam dulu, tiada perbezaan cuma mungkin tidak bagi orang lain," katanya.

ABDULLAH kini dapat membiasakan diri hidup dengan sebelah tangan. FOTO Ihsan Abdullah Abd Kadir
ABDULLAH kini dapat membiasakan diri hidup dengan sebelah tangan. FOTO Ihsan Abdullah Abd Kadir

Menurut Abdullah, murid juga boleh menerima keadaannya walaupun ada juga yang hairan pada awalnya.

"Memang ada murid bertanya apa punca tangan saya jadi begini terutama anak-anak pra sekolah mungkin kerana mereka tidak pernah lihat orang seperti saya.

"Lama kelamaan iaitu selepas bergaul dengan murid, mereka sudah terbiasa dan tidak jadi masalah untuk saya mengajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 2:54 PM