Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Tak peduli risiko yang boleh menimpa, kesungguhan sekumpulan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Mutiara di Kahang meredah air banjir untuk mengajar, mengundang sebak masyarakat.

Menurut Guru Besar SK Ladang Mutiara Azizul Azihan Mahmud, dia terharu dan sebak dengan kesungguhan anak-anak buahnya yang lebih mementingkan pelajaran anak didik mereka daripada nyawa sendiri.

"Jika diikutkan anak-anak buah saya awalnya sudah akur dengan arahan supaya mereka melapor bertugas di sekolah berdekatan namun saya lihat sifat kemanusiaan mereka ini mengatasi kepentingan diri.

"Pagi Ahad lalu, hari pertama sekolah dibuka, dua guru lelaki yang menaiki motosikal mengambil keputusan untuk uji jalan berkenaan selamat atau tidak untuk dilalui.

"Alhamdulillah, mereka lepas dan disusuli seorang lagi guru lelaki yang menaiki motosikal lain dan lima guru lain yang menaiki dua kereta.

"Saya kagum, sebak dan terharu dengan kesungguhan anak-anak buah saya ini apabila mereka sebenarnya bertindak demikian kerana tidak mahu murid-murid ketinggalan pelajaran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azizul Azihan berkata, dia yang baru bertugas di sekolah berkenaan kira-kira sembilan bulan berkata, laluan di kebun kelapa sawit Batu 26 Kahang ke Sungai Peroh itu adalah lokasi banjir setiap kali paras air Sungai Bahai melimpah.

Terdapat 19 guru dan 104 murid dari darjah satu hingga enam di SK Ladang Mutiara.

Dalam pada itu, tular gambar dan video rakaman memaparkan aksi mendebarkan guru berkenaan yang menongkah air banjir Sungai Bahai itu di media sosial.

Sekumpulan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Mutiara di Kahang, Kluang Johor meredah air banjir untuk mengajar. foto ihsan Azizul Azihan Mahmud
Sekumpulan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Mutiara di Kahang, Kluang Johor meredah air banjir untuk mengajar. foto ihsan Azizul Azihan Mahmud

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 11:39 AM