Zul Ariffin
Zul Ariffin

Kuala Lumpur: Pelakon popular, Zul Ariffin akan disiasat di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia (KMM) 1998 berikutan perkongsian video babak panas yang tular membabitkan dia dengan pelakon baru, Siti Hariesa, baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa melalui Twitter, pagi, hari ini.

"Proses undang undang berjalan. Pelakon Zul Arifin akan di siasat di bawah Seksyen 233 Akta KMM (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) kerana 'posting' Instagram yang menyalahi undang undang," tulisnya di Twitter.

Dalam hantaran yang sama, Annuar berkata, adegan seperti yang dipaparkan itu tidak akan dibenarkan untuk tayangan sama ada di bulan Ramadan atau bulan yang lain.

"Jagalah nilai dan budaya," katanya.

Semalam, Zul tampil membuat permohonan maaf di Instagram Story.

Zul yang juga pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 menerusi filem Sangkar itu berkata, selepas ini dia akan lebih meneliti dan berhati-hati untuk memuat naik sebarang bahan yang diberikan kepadanya untuk dipromosikan di media sosial.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menentang keras isu penularan video berkenaan.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, berdasarkan penelitian, pihaknya membantah penyiaran program seumpama itu yang jelas mempamerkan perbuatan dilarang Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak.

Menurutnya, drama seumpama itu tidak wajar disiarkan apatah lagi ketika Ramadan.

"Jakim menggesa semua pihak sama ada stesen penyiaran, penerbit, penulis skrip dan pelakon lebih cakna dan mengelakkan isu seumpama ini kerana ia menyerap masuk ke dalam jiwa masyarakat khususnya golongan remaja dengan budaya dan norma yang bersalahan dengan ajaran Islam dan amalan murni masyarakat Malaysia," katanya.

Terdahulu, Zul mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video di Instagram memaparkan beberapa babak panas bersama Siti Hariesa dalam drama terbaharu lakonannya berjudul Perempuan Itu, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 12:12 PM