Erma Fatima
Erma Fatima
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penerbit drama bersiri, Perempuan Itu yang tular gara-gara video babak panas lakonan Zul Ariffin dan pelakon baru, Siti Hariesa iaitu Erma Fatima enggan mengulas mengenai isu yang panas sejak Jumaat lalu itu.

Erma ketika dihubungi berkata, buat masa ini dia tidak dibenarkan untuk memberikan apa-apa kenyataan berhubung perkara itu.

"Maaf sangat, tetapi saya tidak dibenarkan untuk memberikan apa-apa kenyataan buat masa ini," katanya ketika dihubungi menerusi WhatsApp, hari ini.

Selain Zul dan Siti Hariesa, drama arahan Ain Sharif itu turut menampilkan lakonan Mimi Lana, Eman Manan, Amar Asyraf dan ramai lagi.

Perempuan Itu dijangka ditayangkan di TV3, April ini.

Terdahulu, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, setiap penerbit TV seharusnya memastikan kandungan TV yang dihasilkan tidak menyentuh sensitiviti agama seperti mana mengikut garis panduan yang dikeluarkan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).

Jurey berkata, sebagai penerbit berpengalaman, Erma pastinya arif kerana ia adalah garis panduan yang sudah dikuatkuasakan di bawah Akta Lembaga Penapisan Filem 2002 kepada semua bahan siaran TV tempatan.

"Setiap skrip yang diguna pakai oleh pengarah adakah skrip yang sudah dipersetujui oleh penerbit dan pihak stesen TV. Maka tiada isu klip tular hanyalah 'directors cut' dan bukan untuk siaran TV tempatan seperti mana kenyataan oleh pengarah drama itu," katanya.

Sebelum ini, pengarah drama itu, Ain Sharif mendakwa adegan yang bocor itu adalah rakaman kedua yang mungkin tidak ditayangkan di televisyen dan hanya untuk tujuan publisiti.

Dalam pada itu, Zul akan disiasat di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia (KMM) 1998 berhubung perkara itu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa melalui Twitter, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 1:23 PM