RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Bukan didera sebaliknya selisih faham ibu dan anak. Demikian penjelasan polis berhubung video kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang mendakwa cuba dibunuh ibunya dan meminta bantuan orang ramai di sebuah medan selera di Kota Damansara, di sini.

Rakaman video yang menunjukkan kanak-kanak terbabit meminta bantuan orang ramai itu tular di media sosial, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, semakan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam pada 25 Februari lalu.

"Polis menerima panggilan daripada seorang lelaki mengenai kanak-kanak lelaki mendakwa dipukul ibunya.

"Polis membawa kanak-kanak itu ke balai polis berdekatan untuk siasatan lanjut. Siasatan awal mendapati dia berselisih faham dengan ibu kerana bergaduh dengan adiknya.

"Dia dimarahi oleh ibunya lalu bertindak melarikan diri ke kedai makan berhampiran kawasan rumah mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, Mohamad Fakhruddin berkata, bapa kanak-kanak itu tampil membuat laporan polis.

Beliau berkata, kanak-kanak itu sudah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan awal mendapati tiada unsur penderaan.

"Polis akan menjalankan siasatan selanjutnya sekiranya terdapat apa-apa perbuatan jenayah terhadap kanak-kanak itu," katanya.

Beliau meminta saksi awam yang melihat kejadian supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk memberikan keterangan.

Orang ramai juga dinasihati supaya berhenti menyebarkan video berkenaan kerana boleh menyebabkan kegusaran awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 5:10 PM