FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Skuad Khas Harian Metro


Bajet 'ciput' pun boleh jadi cantik

Kuala Lumpur: Ubah wajah, sedut lemak, besarkan payudara dan rawatan kecantikan lain pada harga bajet.

Itu tawaran menarik disediakan di lebih 20 pusat kecantikan atau medispa di Lembah Klang dan beberapa negeri di Utara serta Selatan tanah air didalangi pakar bedah warga asing yang menjalankan prosedur pembedahan untuk rawatan berkenaan.

Biarpun tidak mempunyai lesen sah atau tauliah, pusat kecantikan terbabit aktif mempromosikannya di media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook dengan memuat naik gambar atau video testimoni pelanggan yang sudah berjaya menjalani pembedahan berkenaan selain 'menjaja' pembedahan itu dilakukan 'pakar luar negara'.

Skuad Khas Harian Metro dimaklumkan, medispa terbabit menawarkan harga kira-kira 50 peratus lebih murah berbanding pusat kecantikan sah yang prosedur pembedahan berkaitan dijalankan pakar.

Contohnya harga bagi membesarkan payudara hanyalah RM5,000 berbanding dilakukan pakar bertauliah RM10,000.

Siasatan Skuad Khas Harian Metro bermula apabila mendapat aduan daripada beberapa pelanggan yang mendakwa mereka kini menjadi cacat kekal selepas menjalani prosedur pembedahan kecantikan di salah sebuah medispa yang terletak di ibu kota.

Susulan aduan berkenaan, wartawan Skuad Khas Harian Metro mula melakukan tinjauan di beberapa premis yang terletak di ibu kota sebagai pelanggan untuk memastikan dakwaan berkenaan.

Pemerhatian wartawan mendapati kebanyakan pusat kecantikan terbabit beroperasi hanya di rumah kedai dan ia tidak selamat untuk mengendalikan proses pembedahan seperti menyedut lemak serta membesarkan payudara.

Wartawan kemudian menghubungi salah sebuah pusat kecantikan yang dikendalikan warga asing itu bagi mendapatkan rawatan kecantikan.

Selepas bayaran pendahuluan dibuat bagi menetapkan tarikh janji temu bersama pakar perunding, wartawan akhirnya dapat masuk ke premis itu yang dilengkapi pintu keselamatan selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Sebaik memasuki premis, wartawan ditanya apa yang ingin dilakukan dan wartawan memberitahu mahu meninggikan hidung lalu diminta menunggu sebentar sebelum dibawa masuk ke bilik rundingan.

Wartawan bertemu seorang wanita warga asing mendakwa dirinya pakar estetik dan dia menawarkan prosedur 'rhinoplasty' serta 'alarplasty' membabitkan kos sekitar RM12,000.

Proses perundingan itu mengambil masa kira-kira 15 minit yang mana wartawan hanya diterangkan mengenai prosedur rawatan dan tiada pemeriksaan kesihatan akan dilakukan sebelum rawatan.

"You (awak) punya hidung ada ruang, I (saya) boleh potong sikit masuk filler saja. You punya hidung pun kembang, boleh buat alarplasty (mengecilkan ukuran cuping hidung)," kata pakar itu.

Wartawan turut bertanya sama ada prosedur berkenaan akan membabitkan pakar bius, wanita itu memberitahu ia hanya pembedahan kecil yang memerlukan suntikan bius di kawasan muka sahaja.

"Kita suntik di sekitar hidung sebelum buat. Selepas rawatan muka akan bengkak sikit ambil masa seminggu. Selepas itu you boleh kerja macam biasa," katanya lagi.

Untuk rekod, Skuad Khas Harian Metro juga sudah memaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan mengenai kebanjiran 'pakar bedah' warga asing di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa, 'pakar' dari luar itu bukan saja dibayar sebagai perunding untuk meyakinkan pelanggan, tetapi dibenar mengendalikan prosedur termasuk pembedahan berisiko terhadap pelanggan seperti alat kelamin, pengubahsuaian wajah serta pelbagai suntikan.

"Mangsa biasanya tertarik dengan penjelasan pakar dari luar negara sehingga mudah terjebak, apatah lagi harga ditawarkan lebih murah. Mereka mendakwa diri pakar dalam bidang kecantikan dan kosmetik, yang status berkenaan diperoleh hanya selepas menjalani kursus di negara asal.

"Individu terbabit sanggup menghabiskan wang menghadiri kursus untuk belajar cara melakukan rawatan sebelum masuk ke negara ini," katanya.

Persoalannya, adakah pakar asing terbabit mempunyai tauliah daripada pihak berkuasa negara ini seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ataupun mereka masuk sebagai pelancong, pekerja sektor lain sebelum menyalahgunakan pas lawatan sosial ataupun pas kerja mereka?

Skuad Khas Harian Metro sedang mendapatkan ulasan lanjut daripada KKM berkaitan isu berkenaan.

Hidung senget selepas dibedah

Kuala Lumpur: Impian seorang gadis untuk mendapatkan hidung mancung melalui rawatan kecantikan kosmetik bertukar mimpi ngeri.

Mangsa mendakwa melakukan pembedahan itu tanpa memikirkan risiko selepas terpedaya dengan testimoni dan promosi yang ditawarkan sebuah pusat kecantikan di media sosial.

Gadis berusia 19 tahun itu yang enggan namanya didedahkan berkata, dia membelanjakan lebih RM4,000 untuk menjalani rawatan 'alarplasty'.

Untuk rekod, alarplasty adalah prosedur pembedahan plastik yang dilakukan pada cuping hidung untuk mengecilkan ukuran cuping hidung yang lebih besar atau tebal.

Selepas wang simpanan habis dibelanjakan, apa yang mengecewakan apabila hidungnya senget, ditambah bahagian tepi hidung meninggalkan parut hasil pembedahan lebih sembilan bulan lalu.

Menceritakan kejadian, gadis itu mendakwa mendapatkan rawatan di sebuah klinik kecantikan di ibu kota yang kononnya dikendalikan pakar bertauliah dari luar negara.

"Pada awalnya, saya melakukan pembedahan kosmetik pada cuping hidung tetapi selepas dua jam pembedahan itu saya dapati lubang hidung kiri lebih kecil berbanding kanan.

"Saya tidak puas hati lalu meminta doktor bedah itu untuk membetulkan semula hidung. Malangnya, selepas pembedahan kedua itu hidung saya masih sama. Namun doktor memberitahu saya perlu menunggu kesan bengkak akibat pembedahan hilang untuk melihat hasil sebenar," katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas seminggu hidungnya masih senget lalu menghubungi klinik kecantikan terbabit dan mereka memintanya datang untuk memperbaikinya semula.

"Apabila saya ke klinik itu, pelbagai alasan diberikan menyebabkan hidung saya tidak dapat dibaiki.

"Saya tidak puas hati lalu pergi berjumpa dengan pakar estetik bertauliah dan pakar terbabit memaklumkan hidung saya terlebih potong selain potongan tidak sekata. Saya dinasihatkan menjalani rawatan susulan," katanya.

Berikutan kejadian itu, dia alami trauma dan kemungkinan cacat kekal sekiranya tidak menjalani rawatan pembedahan susulan oleh pakar bertauliah.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali Siti, 32, mendakwa kulit mukanya rosak akibat prosedur memutihkan kulit dan membesarkan bibir.

"Saya tertarik dengan tawaran harga murah bagi rawatan pemutihan kulit yang ditawarkan sebuah pusat kecantikan lalu bersetuju membuat rawatan itu.

"Saya hanya mahu melakukan pemutihan kulit wajah, tetapi janji manis perunding kecantikan mempengaruhi saya untuk melakukan rawatan lain termasuk suntikan 'filler' bibir dan kelopak mata dengan kos keseluruhan lebih RM5,000," katanya.

Selepas rawatan itu, Siti berkata, kulit wajahnya berubah menjadi lebih teruk malah bibir menjadi terlalu besar dan kelihatan tidak normal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 12:00 PM