Najiy Jefri


MEMEGANG tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu, usahawan dan anak seni sememangnya bukan satu tugas mudah.

Bagaimanapun, pelakon Mawar Rashid sentiasa optimis dan cuba menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin demi memastikan setiap perkara yang diimpikan dapat dipenuhi dengan baik.

Tanpa sedar, ibu kepada dua cahaya mata ini berjaya melalui setiap fasa berkat dorongan dan sokongan suami dan ahli keluarga yang sentiasa berada di sisi.

Mawar berkata, pembahagian masa juga adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian bagi memastikan kehidupan sehariannya berjalan lancar.

"Sebelum bergelar isteri saya ingatkan mudah nak lalui semua ini, tapi selepas pikul tanggungjawab baru seperti bergelar ibu, usahawan dan dalam waktu masa aktif berlakon saya akui tidak mudah.

MAWAR bersyukur dapat membahagikan masa antara kerja dengan keluarga.
MAWAR bersyukur dapat membahagikan masa antara kerja dengan keluarga.

"Bagaimanapun saya selalu yakin dan percaya dengan kemampuan diri. Apa yang saya lakukan adalah fokus kepada pembahagian masa supaya lebih efisyen serta dapat menjaga kesihatan mental dengan lebih baik," katanya.

Mengakui keluarga adalah keutamaan ketika ini, namun Mawar enggan melepaskan kerjaya lakonan dan perniagaan yang sedang diusahakan.

Menurut Mawar, dia tidak boleh melepaskan salah satu kerjaya yang sedang dilakukan ketika ini kerana membabitkan ramai pihak yang masih bergantung harap dengannya.

"Sejak menguruskan perniagaan Mawarose, ramai yang bergantung hidup dengan saya. Mereka sangat perlukan saya untuk meneruskan kelangsungan hidup. Jadi saya perlu tunaikan impian mereka.

"Dalam waktu sama, keluarga adalah keutamaan dan saya perlu bijak bahagikan masa untuk mendidik anak-anak dan memberikan sepenuh kasih sayang.

MAWAR akui tidak mudah pikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu, pelakon dan usahawan.
MAWAR akui tidak mudah pikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu, pelakon dan usahawan.

"Saya selalu pujuk diri dengan mengatakan saya akan penat untuk beberapa tahun ini saja. Selagi saya masih relevan dalam bidang seni, saya akan terus melakukan kerja seni.

"Insya-Allah saya akan kembali aktif berlakon selepas Aidilfitri nanti selepas tiga bulan terbabit dengan drama Villa Kristal untuk terbitan WeTV baru-baru ini,"katanya.

Mawar berkata, perniagaan yang diusahakan ketika ini juga tidak boleh dilepaskan begitu saja kerana dia sudah berjanji untuk membantu insan-insan yang ingin menjana pendapatan dengannya.

"Niat utama saya membangunkan perniagaan ini adalah untuk bantu orang ramai menjana pendapatan. Malah ramai dalam kalangan ahli keluarga yang sanggup berhenti kerja semata-mata nak bantu saya uruskan syarikat.

RAHSIA kejayaan Mawar adalah pembahagian masa yang baik.
RAHSIA kejayaan Mawar adalah pembahagian masa yang baik.

"Jadi, saya perlu konsisten dan bekerja keras untuk memastikan perniagaan ini terus berjaya. Alhamdulillah saya kini dikelilingi oleh insan-insan yang amat menyokong dan akan terus menghidupkan perniagaan ini selagi ia diperlukan," katanya.

Dalam pada itu, Mawar berkongsi mengenai perancangan untuk menambah zuriat selepas dikurniakan dua cahaya mata iaitu Raden Muhammad dan Raden Seri Rosabella Cinta.

"Saya belum ada sebarang perancangan untuk tambah anak. Saya tunggu Cinta berusia tiga tahun dulu baru saya akan fikirkan soal itu. Doakan semoga saya mampu menjadi ibu yang terbaik buat anak-anak saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 6:00 AM