MAWAR mahu kongsi pengalaman dilalui dengan mereka yang memerlukan. FOTO Rosela Ismail
MAWAR mahu kongsi pengalaman dilalui dengan mereka yang memerlukan. FOTO Rosela Ismail
Syafil Syazwan Jefri

MENJADI seorang figura bernama Mawar Rashid bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Sejak pertama kali mula dikenali menerusi aplikasi media sosial Keek, namanya sentiasa ditempelak dengan pelbagai tohmahan.

Usai gelombang pertama kecaman, Mawar sekali lagi dilemparkan dengan kecaman hebat warganet apabila dia umpama tidak ada pengetahuan langsung mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang sedikit sebanyak mencacatkan namanya.

Kini, selepas beberapa tahun, Mawar bangkit dan ingin membantu mereka yang berdepan situasi yang sama sepertinya sehingga mengalami kemurungan tahap ringan.

“Pada awalnya, saya dan abang saya, Arfan mula dikenali apabila kami sering berkongsi video di Keek. Dari situ, kami sendiri tak jangkakan yang nama mula jadi perhatian.

“Bila mula dikenali, itu menjadi kali pertama saya berdepan dengan gelombang pertama kecaman daripada warganet. Memang terkejut juga kerana sebelum itu, kehidupan saya tenang saja dan secara tiba-tiba, dihentam oleh orang yang saya sendiri tak kenal,” katanya.

Membuka cerita mengenai pengalaman kehidupannya bergelar artis yang mula mencipta nama menerusi program Pencarian Dewi Remaja, Mawar tidak sesekali pernah melupakan detik di mana dia dihentam hebat kerana jawapannya ketika ditanya mengenai GST.

“Pada waktu itu, saya jadi sangat tertekan sehinggakan takut nak keluar dari rumah. Saya sampai tak boleh terima apa yang berlaku sehingga hampir menarik diri daripada pertandingan itu.

KETENGAH bakat sebagai penyanyi. FOTO Aswadi Alias
KETENGAH bakat sebagai penyanyi. FOTO Aswadi Alias

“Mujurlah ada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong saya. Mereka berikan kata-kata semangat untuk saya teruskan juga. Namun, kesannya saya masih rasakan sehingga ke hari ini apabila diri menjadi sangat gemuruh setiap kali diajukan soalan,” katanya.

Kecaman yang diterima itu bagaimanapun, diakui menjadikannya seorang wanita yang matang dan lebih kuat, sekali gus ingin berkongsi pengalamannya bersama mereka yang memerlukan.

“Saya sangat bersyukur di atas apa yang berlaku kerana ia banyak mengajar diri ini untuk menjadi seorang insan yang benar-benar kuat. Ia melatih saya menjadi seorang yang positif.

“Bila saya fikirkan semula mengenai pengalaman ini, saya sentiasa memasang impian untuk membantu mereka yang memerlukan dan pernah mengalami benda yang sama.

“Saya nak berikan motivasi dan berkongsi pengalaman dilalui dengan mereka. Pada masa sama, saya nak bantu mereka untuk menjadi individu yang positif. Sejujurnya, sejak perkara itu berlaku, saya dah banyak berubah dari segi pemikiran,” katanya.

Ketengah bakat sebagai penyanyi pula

Meskipun bergelar isteri dan ibu, Mawar masih aktif dalam kerjaya seninya. Masih, mendapat tawaran berlakon drama, Mawar juga nekad mencuba cabang seni lain.

Terbaharu, Mawar yang ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik Mawarose baru-baru ini, turut memperkenalkan bakatnya sebagai penyanyi.

KUALA LUMPUR 18 OGOS 2019. Pelakon, Mawar Rashid bersama suami, Raf Yaakob. NSTP/ROSELA ISMAIL.    
KUALA LUMPUR 18 OGOS 2019. Pelakon, Mawar Rashid bersama suami, Raf Yaakob. NSTP/ROSELA ISMAIL.    

“Lagu baharu yang saya lancarkan ini berjudul Mawarose dan konsepnya adalah berentak K-Pop. Ini satu genre yang sangat kena dengan diri saya.

“Sebelum ini, saya dah pernah menyanyi, tetapi bukan dalam genre yang sebati dengan diri saya. Jadi, kali ini saya keluarkan lagu Mawarose ini. Bagaimanapun, ia bukan lagu komersial,” katanya.

Ditanya sama ada dia menyimpan impian untuk menjadi penyanyi profesional suatu hari nanti, Mawar tidak menolak hasrat itu.

“Saya dan suami, Raf pernah berbincang untuk keluarkan lagu bersama. Mungkin muziknya adalah seperti genre lagu Mawarose ini iaitu K-Pop. Namun, tarian dan sebagainya lebih kepada tugas saya untuk menjayakannya kerana Raf mungkin agak selesa menyanyi,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan keluarga, Mawar juga tidak menolak sekiranya diberikan rezeki anak lagi. Katanya, dia sedia terima dengan berlapang dada.

“Anak kami, Raden Muhammad Rafael juga sudah masuk usia setahun. Kalau ditanya kepada saya soal anak, jika ada rezeki untuk dapat zuriat lagi, memang tak tolak. Mungkin selepas ini kalau dapat anak perempuan, dah ada sepasang,” katanya.

Terbaharu, Mawar kini dalam perbincangan untuk membintangi satu telefilem dan pada masa sama, sibuk mengendalikan jenama produk kosmetik bersama dua kakaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 6:00 AM