Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@bh.com.my


Kuala Lumpur: "Kita akan 'menyusahkan' hidup kumpulan anti vaksin supaya mereka berterusan tidak dibenarkan menikmati apa-apa kelonggaran seperti individu lengkap vaksinasi."

Nada tegas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin itu merujuk kepada tindakan individu enggan divaksin kerana mereka memilih untuk tidak diberikan pelalian berkenaan.

Menurutnya, biar pun vaksin tidak diwajibkan tetapi kerajaan tidak akan memberi muka kepada kumpulan terbabit kerana mereka memilih untuk menolak vaksin.

"Kita mungkin tidak akan melaksanakan undang-undang Persekutuan yang mewajibkan pengambilan vaksin, tetapi menggalakkan undang-undang sektoral.

"Ia mungkin agak kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk 'menyusahkan' hidup mereka yang memilih untuk tidak divaksin.

"Ini kerana anda sendiri memilih untuk tidak divaksin, melainkan anda tidak boleh menerimanya atas faktor kesihatan dan dikecualikan dalam aplikasi MySejahtera. Bagaimanapun, jika sebaliknya, memang kami akan susahkan hidup anda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran 11th National Acute Myocardial Infarcation Course (NAMIC) 2021 di sini, hari ini.

Khairy berucap di Majlis Perasmian Kursus Infarksi Myokardial Kebangsaan Ke-11 (NAMIC) 2021 di Grand Nexus Bangsar South. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Khairy berucap di Majlis Perasmian Kursus Infarksi Myokardial Kebangsaan Ke-11 (NAMIC) 2021 di Grand Nexus Bangsar South. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI

Khairy berkata, pelaksanaan undang-undang sektoral itu akan membabitkan keseluruhan sektor perkhidmatan awam, selain akan diperluas kepada sektor swasta.

Katanya, keputusan itu dimuktamadkan susulan kebimbangan ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke sekolah tetapi terdapat segelintir golongan pendidik enggan divaksin.

"Sebab itu apabila kita bincang, ia tidak boleh fokus kepada sektor pendidikan tetapi mestilah untuk keseluruhan perkhidmatan awam.

"Kini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sudah keluarkan pekeliling yang mewajibkan penjawat awam divaksinasi, menjelang November depan.

"Kita juga akan wajibkan undang-undang sektoral kepada sektor swasta. Justeru, syarikat perlu ada undang-undang sendiri yang menyatakan semua kakitangan perlu lengkap divaksinasi jika mahu bekerja," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, golongan anti vaksin atau melengahkan pengambilan pelalian itu berkemungkinan diwajibkan menjalani saringan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) Air Liur secara mingguan.

Bagaimanapun, katanya, perbelanjaan bagi menjalani saringan itu tidak akan ditanggung kerajaan, sebaliknya perlu dibiayai sepenuhnya individu terbabit.

Ketika ini, katanya, golongan belum menerima vaksin tidak dibenarkan makan di restoran mahu pun memasuki pusat beli-belah, selain dijangka lebih banyak batasan akan ditetapkan kemudian.

"Perincian mengenai perkara ini akan diumumkan ketika pelancaran Strategi Saringan Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

"Anda memilih untuk tidak divaksin, jadi kita akan pastikan anda menjalani saringan berkala yang perlu ditanggung sendiri," katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, sekurang-kurangnya 200,000 penerima vaksin di negara ini dikenal pasti tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun katanya, ia tidak boleh diterjemahkan sebagai angka mewakili warga asing kerana individu terbabit hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

Beliau juga mendedahkan, seramai 3,006,987 daripada 24.7 juta individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin di negara ini terdiri daripada warga asing.

"Bagaimanapun, lebih ramai yang datang untuk divaksinasi menggunakan pasport atau dokumen bekerja yang tamat tempoh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 4:28 PM
Khairy berucap di Majlis Perasmian Kursus Infarksi Myokardial Kebangsaan Ke-11 (NAMIC) 2021 di Grand Nexus Bangsar South. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Khairy berucap di Majlis Perasmian Kursus Infarksi Myokardial Kebangsaan Ke-11 (NAMIC) 2021 di Grand Nexus Bangsar South. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI