FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Penduduk di Lembah Klang yang belum menerima janji temu vaksinasi Covid-19 atau melengkapkan dos kedua boleh mendapatkan imunisasi berkenaan secara percuma di 98 klinik swasta terpilih atau klinik kerajaan.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya tadi memaklumkan, bagi menambah baik akses pemberian vaksin di Selangor dan Kuala Lumpur, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) membangunkan program tempahan vaksin untuk golongan dewasa bermula semalam di fasiliti kesihatan swasta terpilih yang berdaftar bawahnya.

"Buat masa ini, individu di Lembah Klang yang ingin mendapatkan janji temu vaksinasi perlu menghubungi dan membuat tempahan dengan mana-mana fasiliti swasta terpilih.

"Program vaksinasi secara tempahan ini bagi mengelakkan pembaziran dan ketidakpastian permintaan vaksin.

"Kumpulan sasaran bagi program ini adalah golongan dewasa yang baru mendaftar dan belum mendapat janji temu, golongan dewasa yang terlepas janji temu dos pertama atau dos kedua dan juga golongan lain yang akan diumumkan oleh KKM dari masa ke semasa," katanya tadi.

Media sebelum ini menyatakan sehingga kini terdapat 5.2 peratus individu yang belum divaksin. Peratusan berkenaan membabitkan kira-kira 1.224 juta penduduk dewasa di seluruh negara.

KKM berkata, individu yang ingin mendapatkan pelalian berkenaan boleh menghubungi fasiliti yang terpilih bagi mendapatkan slot janji temu dahulu dan akan diberikan tarikh untuk diberikan vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 3:46 PM