BISNES seludup rokok paling menguntungkan menyebabkan ia paling banyak diseludup di dunia.
BISNES seludup rokok paling menguntungkan menyebabkan ia paling banyak diseludup di dunia.
Ahmad Hasbi


Kuala Lumpur: Kartel rokok seludup sentiasa licik dan kreatif dalam menjalankan kegiatan kerana hasil yang diperoleh cukup lumayan serta mampu melahirkan jutawan dalam tempoh singkat.

Sekali pun ada operasi dan tindakan berterusan pihak berkuasa namun hasil yang diharapkan masih jauh dari sasaran.

Malah, kartel ini terus bermaharajalela dengan menyeludup rokok pada setiap masa termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta mengaut hampir RM2 bilion setahun.

Bagi kartel, perniagaan seludup rokok adalah paling menguntungkan menyebabkan bahan itu paling banyak diseludup di dunia.

Hasil berbilion juga digunakan untuk merasuah pihak berkuasa atau orang dalam organisasi penguatkuasaan agar melindungi kegiatan mereka.

Aktiviti penyeludupan bahan ini kekal sebagai jenayah yang sukar disiasat kerana modus operandi sering berubah - ubah. Ini diakui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mengesan masih wujud modus operandi 'borang terbang' dalam kegiatan penyeludupan rokok di negara ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latiff Abdul Kadir berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangannya jika didapati bersengkongkol dengan sindiket menggunakan modus operandi berkenaan.

"Kami percaya masih ada penyeludup menggunakan borang terbang dan memang pihak kastam memberikan tumpuan khas terhadap taktik ini. Sudah banyak kes yang kita dapat tangkap tetapi ia terus berlaku.

"Pihak kami juga tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat bukti jelas menunjukkan anggota atau pegawai kastam terbabit dalam kegiatan ini. Setakat ini tiada bukti yang jelas dan belum dapat mengambil tindakan," katanya.

Istilah borang terbang memang popular dalam kalangan kartel. Ini kerana sindiket mengimport rokok dari negara luar kononnya untuk dihantar ke negara ketiga menggunakan pelabuhan.

Kartel mengikut prosedur yang betul dengan menggunakan borang Kastam 8 (K8). Jadi, dengan pengisytiharan ini, tiada sebarang kesalahan ketika kontena itu meninggalkan pelabuhan.

Kontena itu kemudian dibawa menggunakan treler ke gudang di lokasi tertentu di luar pelabuhan sebelum rokok berkenaan dipindahkan ke lori kecil kononnya untuk diedarkan ke Hatyai melalui pintu sempadan seperti Padang Besar atau Bukit Kayu Hitam.

Di sini berlaku penyelewengan yang mana rokok itu tidak keluar dari Malaysia sebaliknya dihantar ke lokasi lain. Hanya borang K8 itu sahaja sampai ke pintu sempadan sebelum direkodkan dalam sistem kastam memaklumkan kontena itu sudah keluar dari Malaysia.

Borang terbang tidak boleh berlaku sekiranya tidak membabitkan pegawai kastam kerana mengikut polisi biasa, pegawai kastam yang menerima borang itu perlu memeriksa kontena terbabit sebelum melepaskannya keluar dari Malaysia.

Mengulas mengenai modus operandi terbaru aktiviti penyeludupan rokok, Abdul Latiff mendakwa kebanyakan sindiket menggunakan taktik yang sama berulang kali.

"Pihak kami mendapati sindiket hanya menukar modus operandi mereka dan menggunakan taktik sama berulang kali. Ada yang menggunakan sampan, kontena, kapal, bot dan ada juga secara kecil-kecilan," katanya.

Tambah beliau, pihaknya mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi dalam membanteras kegiatan penyeludupan rokok dan hampir setiap minggu berjaya merekodkan kejayaan menumpaskan aktiviti haram berkenaan.

"Kastam tidak akan berputus asa dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan ini dan turut bekerjasama dengan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta pihak berkuasa lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 7:29 AM