Amir Mamat

Melaka: Empat Adun kerajaan, sebentar tadi mengumumkan hilang kepercayaan kepada kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Mereka menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri.

Spekulasi mengenai perkara itu bertiup kencang sejak awal bulan ini selepas dikatakan terdapat empat Adun bakal beralih arah dengan menyertai Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan Parti Keadilan Nasional (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam tempoh terdekat.

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. FOTO arkib NSTP
KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. FOTO arkib NSTP

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Melaka yang diterajui Umno bakal tumbang pada bila-bila masa berikutan terdapat empat Adun kerajaan dikatakan akan melompat ke PH.

Difahamkan, keempat-empat Adun berkenaan sudah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong PH dan mengatakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan mengadakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dalam tempoh terdekat.

Kerajaan Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali dibentuk pada Mac tahun lalu selepas PH tumbang berikutan empat Adun ketika itu memberikan sokongan kepada gabungan PN.

Kerajaan Melaka ketika ini diwakili 17 Adun dengan 14 daripadanya diwakili Umno, diikuti dua Parti Bersatu dan satu Bebas manakala pembangkang pula 11 kerusi.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 1:37 PM