Amir Mamat

Melaka: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mengesahkan dua lagi ADUN akan mengikut langkah mengumumkan hilang kepercayaan dengan kepemimpinan kerajaan negeri sedia ada.

Tanpa mendedahkan nama ADUN berkenaan, beliau berkata, perkara itu bagaimanapun masih di peringkat perbincangan dan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam akan diadakan dalam masa terdekat.

"Kita mencadangkan dua wakil iaitu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari dan saya sebagai wakil kepada empat ADUN yang menarik sokongan ini untuk bertemu Tun Mohd Ali.

"Pertemuan ini bagi menyampaikan hasrat dan pandangan bagaimana meneruskan kesinambungan pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri.

"Namun pada masa sama, kita dapat membayangkan akan ada dua lagi ADUN lagi yang akan bersama kita. Ini masih di peringkat perbincangan," katanya dalam sidang media di Banda Hilir, di sini, hari ini.

IDRIS Haron. FOTO Syafeeq Ahmad
IDRIS Haron. FOTO Syafeeq Ahmad

Semalam, Idris bersma tiga lagi ADUN iaitu Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) menamatkan teka-teki krisis politik Melaka selepas mendakwa hilang kepercayaan dengan kepimpinan Sulaiman.

Keadaan itu sekali gus menyaksikan kerajaan Melaka hilang majoriti, selepas hanya mempunyai 13 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam pada itu Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, beliau melihat tindakannya bersama tiga lagi ADUN menyatakan hilang sokongan dan bekerjasama dengan PH sebagai suatu langkah harmoni.

"Saya melihat ini (langkah) harmoni dan contoh terbaik kepada idea 'Keluarga Malaysia' yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Kami tidak rela kepincangan yang dilakukan kerajaan negeri selama ini berterusan kerana mangsanya ialah rakyat," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 3:16 PM