Hajar Umira Md Zaki dan Mary Victoria Dass dan Noorazura Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Sasaran mencapai imuniti kelompok semakin tidak mustahil apabila 6,823,104 dos vaksin diberikan di negara ini setakat kelmarin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Selain itu, sebanyak 268,604 dos diberikan kelmarin berbanding 252,773 dos pada hari sebelumnya menunjukkan peningkatan kadar pemberian vaksin sudah melebihi 250,000 dos selama tiga hari berturut-turut.

Pengurus Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) Dr Mohd Naufal Ridzuan berkata, adalah tidak mustahil mencapai imuniti kelompok melihat kadar peningkatan penerimaan vaksin mencapai sasaran lebih 260,000 sehari.

"Malah, bagi saya antara yang menyumbang kepada peningkatan ini adalah peranan kerajaan dan media menyampaikan maklumat mengenai kepentingan vaksin.

"Namun setiap individu berperanan menyampaikan persepsi yang positif bagi mengurangkan jangkitan serta meningkatkan pendaftaran untuk menerima vaksin," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Naufal berkata, MIECC menerima sekitar 5,000 penerima vaksin setiap hari sejak pembukaan pada 14 Jun lalu dan tidak mustahil terus meningkat.

"Kemungkinan besar dalam dua minggu lagi, kami juga akan dapat menambah jumlah penerima vaksin sehingga 10,000 sehari di sini.

"Kami turut menerima sambutan baik daripada golongan orang kurang upaya (OKU) serta warga emas untuk menerima vaksin. Mereka sangat bersemangat mendapatkan vaksin," katanya ketika ditemui di MIECC, semalam.

Menurut Mohd Naufal, meskipun kes masih pada tahap empat angka dengan proses pemberian vaksin yang cepat oleh kerajaan membantu menurunkan kadar jangkitan kes setiap hati.

Sementara itu, penerima vaksin, Noor Azman Sudin, 57, berkata, dia juga menyokong usaha kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin sehingga lebih 260,000 dos dan ia satu usaha yang baik serta perlu diambil peluang.

"Saya tidak menafikan sebelum ini ramai orang takut mendapatkan vaksin, namun selepas mendapat maklumat yang terbaik daripada pakar dan doktor.

"Orang ramai sudah mula menyedari kepentingan vaksin dan saya rasa ia adalah satu usaha yang bagus untuk kerajaan mempercepatkan kadar vaksinasi secara harian," katanya ketika ditemubual.

Menurut Azmi Lamin, 57, yang juga golongan OKU, dia juga menyokong kerajaan meningkatkan kadar vaksinasi demi mencapai sasaran imuniti kelompok.

"Sekiranya lebih banyak pemberian vaksin diberikan, saya yakin Pelan Pemulihan Kerajaan serta sasaran imuniti kelompok dapat dicapai dengan lebih cepat.

"Malah, dengan usaha kerajaan mencapai lebih 260,000 dos kepada rakyat Malaysia adalah bagus untuk membaik pulih ekonomi," katanya.

Sementara itu, pesara swasta, Richard Yap, 56, berkata, dia positif mendapatkan vaksin walaupun mendengar pelbagai perkara negatif mengenai vaksin oleh orang luar sebelum ini.

"Bagi saya, usaha kerajaan memulihkan kembali ekonomi akan tercapai sekiranya lebih ramai individu menerima vaksin.

PENERIMA vaksin diberi masa 15 hingga 30 minit selepas disuntik vaksin di PPV Mega Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC). FOTO Zulfadhli Zulkifli
PENERIMA vaksin diberi masa 15 hingga 30 minit selepas disuntik vaksin di PPV Mega Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC). FOTO Zulfadhli Zulkifli

"Justeru, saranan saya adalah dengan penambahbaikan oleh kerajaan dengan lebih memperbanyakkan lagi dos dalam satu hari, tidak mustahil kita akan dapat mencapai tahap imuniti kelompok satu hari nanti," katanya.

Sementara itu, Menteri Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, dengan angka penggunaan vaksin di Malaysia mencapai 90 peratus, ia membuktikan bahawa kerajaan berusaha memastikan vaksin dapat diberikan kepada rakyat Malaysia sebanyak mungkin setiap hari.

'Pick buat komuniti lebih selamat'

Kuala Lumpur: Kelancaran dan keberkesanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) memberi harapan baru kepada komuniti untuk memerangi pandemik Covid-19.

Tinjauan di Harian Metro di beberapa lokasi mendapati petugas perubatan, sukarelawan dan orang awam memberi kerjasama yang cukup baik untuk memastikan usaha berkenaan berjaya.

Sukarelawan, Mohd Ridhwan Othman, 45, berkata, dia dan keluarga menyambut baik program imunisasi berkenaan demi keselamatan diri serta bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

Menurutnya, komuniti berasa lebih selamat dan kurang berisiko apabila berpeluang mendapatkan vaksin berkenaan.

"Bagi saya PICK suatu usaha yang bagus membolehkan negara melandaikan kes Covid-19," katanya.

Jururawat, M Sathia Bama, 33, berkata, empat ahli keluarga sudah menerima vaksin dos kedua, manakala dua berjaya mendapatkan dos pertama baru-baru ini.

Menurutnya, keluarganya bersyukur kerana kini rasa selamat selamat dan yakin program Pick mampu mengurangkan penularan kes Covid-19 dalam komuniti.

"Saya yang bekerja dalam bidang perubatan percaya vaksin amat penting termasuk bagi petugas barisan hadapan mahupun komuniti," katanya.

Wakil organisasi penjagaan kesihatan, Dr Adnan Sulaiman berkata, lebih 95 peratus penerima vaksin berjaya menghadiri janji temu bagi mendapatkan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, sejak beberapa hari lalu.

Beliau yang juga pegawai perubatan dari Kumpulan Perubatan Penawar berkata, bilangan penerima vaksin menepati janji temu semakin meningkat dan sambutan diberikan adalah lebih baik.

"Berikutan hebahan dan perkongsian maklumat berkaitan vaksin lebih ramai tampil mendapatkannya.

"Kami yang beroperasi di PPV ini sejak 7 Jun lalu hingga 27 Julai depan percaya keyakinan serta kesedaran komuniti terhadap vaksin semakin meningkat," katanya.

Sementara itu, pemberian vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman terutama warga emas menjadikan mereka berasa lebih selamat untuk keluar melakukan urusan harian.

Penduduk Kampung Bembam, Kuala Nerang, Kedah, Siti Leha Abdul Rahman, 57, berkata, dia tidak menyangka menjadi antara individu terawal menerima suntikan vaksin fasa kedua, walaupun tinggal jauh dari bandar.

"Saya berterima kasih kepada kakitangan kesihatan kerana melayan kami dengan baik dan cekap sehingga proses suntikan menjadi selesa buat kami," katanya ketika ditemui.

Bagi penduduk Felcra Belimbing Tualak, Kuala Nerang, Noorshifa Ahmad, 27, berkata rakyat harus rasa bertuah kerana kerajaan memberi vaksin Covid-19 secara percuma dan proses suntikan kini menjadi mudah.

"Kita bertuah kerana kerajaan sudah menambah peruntukan vaksin yang lebih banyak dan melakukan proses suntikan dengan lebih cepat.

"Sekarang ramai yang mahu disuntik vaksin, apabila kerajaan mampu mempercepatkan pemberian vaksin, ia mampu membantu kita hidup kembali normal," katanya yang sudah melengkapkan dua dos suntikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 7:59 AM