PERUMAHAN eksklusif Gunung Nicholson, The Peak. FOTO AGENSI
PERUMAHAN eksklusif Gunung Nicholson, The Peak. FOTO AGENSI
Agensi

Hong Kong: Satu ruang parkir di kawasan perumahan eksklusif Gunung Nicholson, The Peak di sini, menjadi tempat letak kereta termahal di dunia apabila dijual dengan harga lebih AS$1.3 juta (RM5.4 juta).

South China Morning Post melaporkan pemaju Wharf (Holdings) dan Nan Fung Group menjual 29 parkir dalam fasa dua dan tiga projek mewah itu melalui tender tertutup kepada pemilik rumah bulan lalu dengan salah satu parkir itu dijual pada harga AS$1.3 juta.

Dengan ruang letak kenderaan standard berukuran 134.5 kaki persegi atau 12.5 meter (m) persegi, harga jualan mencecah 74.35 Dolar Hong Kong untuk setiap kaki persegi.

Rekod sebelum ini dipegang The Center, sebuah bangunan pejabat 73 tingkat di Central dijual pada harga 7.6 juta Dolar Hong Kong, pada Oktober 2019.

"Ia pasti tempat letak kereta termahal di Hong Kong," kata William Lau, seorang pengarah penjualan di cawangan Agensi Hartanah Centaline di The Peak.

Ruang letak kereta begitu mahal di Hong Kong sehingga ia menjadi perniagaan bagi spekulator untuk membeli dan menjual parkir untuk memperoleh keuntungan cepat.

Sebanyak 8,968 slot parkir bernilai 16.64 bilion Dolar Hong Kong (RM8.85 bilion) dicatatkan pada 2018, dengan rekod paling banyak bermula pada 1996, menurut Centaline.

Segmen hartanah menyaksikan peningkatan urus niaga terbanyak apabila sentimen dalam kalangan pelabur bertambah baik yang memanfaatkan duti setem tambahan untuk transaksi bukan kediaman dihapuskan pada November.

Ricacorp Properties mengatakan penjualan ruang letak kereta melonjak 18 peratus setiap bulan pada Mei.

Kediaman bertingkat di Gunung Nicholson dengan luas 4,200 kaki persegi (45,208 m persegi) hingga 4,600 kaki persegi (49513.99 m persegi) dengan setiap satunya berharga antara 400 juta Dolar Hong Kong (kira-kira RM212 juta) dan 600 juta Dolar Hong Kong (kira-kira RM319 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:30 AM