ANTARA rumah rakyat Palestin yang musnah diserang tentera Zionis. FOTO EPA
ANTARA rumah rakyat Palestin yang musnah diserang tentera Zionis. FOTO EPA
AFP

Gaza: Lelaki orang kurang upaya (OKU) Palestin, Eyad Saleha, 33, sedang menunggu untuk menikmati makan tengah hari apabila peluru berpandu Israel membedil rumahnya di Deir el-Balah di sini.

Ia membunuh lelaki itu, isterinya yang sedang hamil, Amani dan anak perempuan mereka, Nagham yang berusia tiga tahun, kata ahli keluarga dan pihak berkuasa.

Ruang tamu rumah keluarga itu musnah dan serpihan basikal kanak-kanak yang berwarna merah terlihat di celah runtuhan.

Di dalam peti sejuk yang sudah terbalik, habuk meliputi satu mangkuk tomato yang segar.

Mereka adalah antara mangsa kekejaman serangan rejim Zionis Israel di Semenanjung Gaza sejak 10 Mei lalu yang sehingga kini mengorbankan 227 orang termasuk 64 kanak-kanak, kata kementerian kesihatan Gaza.

Adik bongsu kepada Eyad, Omar, 31, berkata, abangnya seorang OKU yang tidak mampu berjalan sejak 14 tahun lalu dan bukan pejuang.

"Apa yang abang saya buat? Dia hanya duduk di kerusi roda.

"Apa yang anak perempuan dia buat? Apa yang isteri dia buat? Mereka cuma sedang bersiap-siap makan tengah hari," katanya.

Katanya, abangnya tidak bekerja dan menumpang duduk di flat itu bersama ibu dan tiga adik-beradik mereka.

Difahamkan, keluarga itu bergantung harap kepada bantuan pelarian Palestin daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ibu mereka, Umm Eyad, 58, bernasib baik kerana tiada di rumah ketika serangan itu membunuh anaknya.

Dia dilaporkan ke rumah abangnya dua hari sebelum insiden itu berlaku.

"Dia selalu berdoa keadaan akan menjadi tenang, tetapi akhirnya dia meninggal dunia ketika menunggu bayinya lahir," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Yousef Abu al-Rish menzahirkan kekesalannya dengan pembunuhan tiga beranak itu yang disifatkannya sebagai satu jenayah.

"Membunuh orang yang tidak bersalah di rumah, bahkan janin dalam perut ibu mereka adalah satu jenayah.

"Berapa banyak lagi kematian untuk menimbulkan belas ihsan dunia?" katanya.

Bagaimanapun, tiada laporan menjelaskan sama ada bangunan tiga tingkat itu menjadi sasaran atau tidak sengaja diserang.

Dalam pada itu, tentera Israel enggan mengulas serangan di Deir el-Balah pada Rabu yang memusnahkan facade bangunan tepi laut dan menghancurkan ketiga-tiga bilik di flat keluarga besar itu.

Israel mendakwa pihaknya mensasarkan komander Hamas yang memerintah wilayah itu serta rangkaian terowongnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 6:30 AM