DR Norsiah  berbual bersama rakan melalui radio frekuensi ketika ditemui, baru-baru ini.
DR Norsiah berbual bersama rakan melalui radio frekuensi ketika ditemui, baru-baru ini.
BERNAMA

Melaka: Di sebalik kepesatan pembangunan teknologi berasaskan penggunaan frekuensi radio seperti telefon pintar, jalur lebar dan sebagainya, penggunaan radio amatur antaranya walkie-talkie masih mempunyai tempat dalam kalangan peminatnya.

Jika dahulu hobi berkenaan sering dikaitkan dengan lelaki, kini semakin ramai wanita yang mula berjinak-jinak dengan penggunaan radio amatur bagi mengisi masa lapang sehingga menubuhkan kelab radio amatur yang dianggap penyelamat semasa kecemasan untuk berkomunikasi.

Bagi pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun, Dr Norsiah Bahari, 48, minatnya bermula pada 2010 ketika beliau sedang belajar di peringkat doktor falsafah (PhD) dan perlu menyiapkan kajian berkaitan flora dan tanah di Taman Negara Endau-Rompin di Pahang.

DR Norsiah  memiliki Lesen Kelas A.
DR Norsiah memiliki Lesen Kelas A.

WALKIE-TALKIE masih mempunyai tempat dalam kalangan peminatnya.
WALKIE-TALKIE masih mempunyai tempat dalam kalangan peminatnya.

"Saya difahamkan ketika itu tiada talian telefon terutama di sekitar kawasan kajian di Gunung Guntung Keriung dan medium telekomunikasi yang ada hanyalah radio amatur sahaja.

"Justeru, saya mula mengambil kelas dan mempelajari selok-belok radio amatur bagi menduduki peperiksaan untuk mendapatkan lesen radio amatur bagi memudahkan komunikasi ketika menjalankan kajian di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata walkie-talkie menjadi satu-satunya penghubung beliau dengan dunia luar ketika melakukan kajian sebanyak dua kali sebulan dalam tempoh dua tahun di kawasan berkenaan.

Katanya, walaupun sudah tamat menjalankan kajian, radio amatur kini menjadi hobinya yang baharu, malah turut disokong oleh suaminya Zahari Ahmad, 48, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi St David, Bukit Baru di sini.

"Kami suami isteri kini memiliki Lesen Kelas A yang mana pemegang lesen ini perlu mahir dalam menggunakan Kod Morse yang merupakan kriteria terpenting jika mahu mengambil lesen bagi kelas tersebut, berbanding Lesen Kelas B yang hanya memberi fokus kepada aspek elektronik, fonetik dan lain-lain.

"Kerana minat dengan radio amatur, saya dan suami kemudiannya menubuhkan kelab radio amatur di pusat pendidikan masing-masing dalam usaha berkongsi pengetahuan kepada pelajar yang berminat dengan medium telekomunikasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:40 AM