ELFIRA lebih suka menunjukkan kebahagiaan di media sosialnya.
ELFIRA lebih suka menunjukkan kebahagiaan di media sosialnya.
Ridzuan Abdul Rahman


BUKAN sedikit kecaman yang diterima Elfira Loy sepanjang dia aktif dalam karier seni, termasuk kehidupan peribadinya. Apatah lagi, dalam era serba moden ini, setiap perbuatannya diintai oleh mereka yang suka mencari kesalahannya.

Bagaimanapun, pengalaman berkecimpung dalam bidang lakonan sejak usia belasan tahun ternyata mematangkan pelakon bernama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri ini.

Elfira, 27, mengakui tidak perlu menggelabah atau melakukan sesuatu sebagai tindak balas dan sebaliknya selesa memilih untuk terus berdiam diri.

"Mestilah saya pernah kena kecam atau sekarang dipanggil buli siber. Tapi, apa yang saya buat? Saya hanya diam tanpa respons.

"Ini kerana saya tahu sama ada saya betul atau salah, orang tetap akan nampak yang buruk sahaja dan takkan tukar keputusan itu.

"Walaupun saya dah buat baik, golongan berkenaan akan tetap tunggu kesilapan dan langsung serang kita," katanya.

Berbekalkan semangatnya yang tinggi berdepan cabaran ini, tidak hairan Elfira diajak menjayakan kempen Anti Buli Siber anjuran Himaya Premium Hijab Medical Mask bersama dua lagi artis terkenal iaitu Wany Hasrita dan Amira Othman.

"Bagi saya, melihat orang lain yang kena, saya perlu bantu juga. Tapi, selepas itu saya pula yang kena. Sebenarnya kalau kita tengok orang kena buli siber, kita kena bantu orang itu.

"Tak perlu jadi 'nasi tambah' yang memburukkan lagi keadaan. Ada baiknya, cuba tenangkan keadaan. Saya pun terfikir, kenapa ada orang berperasaan begini? Sebab mereka rasa benda ini tak salah.

"Pada mereka, cakap benda buruk bukan satu kesalahan. Ia perlu ditegur, kerana apa yang mereka buat itu salah. Ramai orang yang positif, tapi semua tak berani menyuarakan perkara itu dan takut kena semula," katanya.

Elfira mengharapkan semua pihak berani mengatasi gejala sosial yang semakin menjadi-jadi ini.

"Harapnya bila ada kempen buli siber, akan ada kesedaran masyarakat untuk mengelak dan mengatasinya. Macam wanita, dulu orang tak pandang sangat peranannya.

MENJAYAKAN kempen Anti Buli Siber anjuran Himaya Premium Hijab Medical Mask bersama Wany Hasrita dan Amira Othman.
MENJAYAKAN kempen Anti Buli Siber anjuran Himaya Premium Hijab Medical Mask bersama Wany Hasrita dan Amira Othman.

"Apabila ada Hari Wanita, baru semua faham apa yang wanita nak perjuangkan. Saya akui memang 'stres' bila kena buli siber dulu.

"Tak tahu nak cakap apa. Tapi, saya juga seorang pejuang dan tak suka mengalah. Ramai orang yang sakit hati dengan saya kerana saya tak nak cakap apa-apa," katanya.

Menurutnya, masyarakat tidak tahu apa masalah yang dihadapinya kerana dia lebih suka berkongsi kebahagiaan yang dikecapi.

"Apabila saya tunjuk begitu, mereka tertanya-tanya betulkah saya salah? Kita kena 'educate' mereka.

"Kita tak boleh hilangkan diri. Malah, kena tunjukkan lagi kebahagiaan. Saya teruskan kehidupan sehingga dah ada anak.

"Saya kena kuat kerana kita sebagai selebriti sentiasa jadi perhatian masyarakat," katanya.

Bercerita mengenai kerjaya, Elfira mengakui mahu kembali aktif berlakon.

"Sebelum ini, saya dah mula 'shooting' semula. Tapi, dengan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ada yang tertangguh.

"Suami pun ada nasihatkan supaya saya tidak terburu-buru," katanya.

Tetap seronok raya

Walau apa juga keadaan pun, Elfira mengakui tetap mencuba menyambut Aidilfitri dengan semeriah yang boleh.

"Saya percaya hari raya adalah hari untuk kita bergembira. Selalunya saya akan balik kampung sambut Aidilfitri. Tapi, bila sekarang dah tak boleh balik, akan lebih menghargai diri sendiri.

"Saya dah ada keluarga dan lebih bagus untuk raikan raya dengan suami serta anak. Barulah saya dapat fikir banyak perkara untuk persiapan.

"Macam sekarang, saya sendiri yang kena fikir untuk buat dekorasi rumah, memasak dan lain-lain lagi. Kiranya, ini juga pengalaman baharu saya," katanya.

Selain itu, yang pasti Elfira dan suaminya, Faris Khairul Anuar tidak sabar untuk meraikan hari raya kerana anak mereka, Muhammad Rayyan Khalaf kini berusia dua tahun semakin membesar dan boleh melaram dengan pakaian sedondon.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 6:00 AM