ZAMSAHAM dedahkan setakat ini belum ada pihak benar-benar ikhlas dan berani untuk membeli Kelantan FC. FOTO ARKIB NSTP
ZAMSAHAM dedahkan setakat ini belum ada pihak benar-benar ikhlas dan berani untuk membeli Kelantan FC. FOTO ARKIB NSTP
Zulfaizan Mansor


Kuala Lumpur: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memberi bayangan RM10 juta setahun diperlukan untuk mengurus pasukan The Red Warriors (TRW) itu.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mendedahkan, setakat ini belum ada pihak yang benar-benar ikhlas dan berani untuk membeli pasukan Pantai Timur itu.

Bagaimanapun, Zamsaham sekali lagi mengulangi pendirian beliau tidak terdesak untuk menjual kelab itu melainkan ada pihak yang memang bersungguh untuk mengambil alih TRW.

Pada masa sama, beliau masih menunggu dan berharap ada pihak yang berani untuk membeli kelab itu yang menelan kos perbelanjaan bulanan melebihi RM700,000.

"Ada sekumpulan penyokong Kelantan FC minta saya keluar dari Kelantan FC. Mereka sedih sebab kalah teruk dan mereka ingat saya gembira. Jangan bimbang, saya boleh keluar.

"Saya masih menunggu siapa berani keluar duit untuk bajet bulanan RM700,000 hingga RM1 juta sebulan. Setahun RM10 juta cukuplah. Kalau nak 'top five', bajet dalam RM20 juta hingga RM25 juta setahun. Liga Super bajet berbeza.

"Saya harapkan ada yang berani. Kecil sahaja jumlah duit ini sebenarnya bagi jutawan kosmetik. Seperti saya beritahu banyak kali, saya tak terdesak jual kecuali ada yang betul-betul bersungguh.

"Ada yang suruh saya sabar dan teruskan. Kepada yang nak beli. Jangan tanya apa yang bakal dapat, tapi berapa jumlah duit yang nak kena keluarkan," katanya di laman Facebook (FB) miliknya.

Zamsaham sebelum ini menjelaskan beliau sedia menjual kelab itu dengan pembeli perlu membayar sekurang-kurangnya modal yang sudah dikeluarkan beliau selama empat musim menguruskan TRW.

Jumlah itu termasuk hutangnya dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berjumlah RM3.8 juta dan individu atau pemilik baharu boleh menyambung tuntutan terhadap persatuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 8:46 PM