Muhammad Saufi Hassan

"Pada 3 Mei ini saya bersara dan saya akan tetap bersara," itu kata Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador walaupun ada pihak mahukannya terus menjadi nakhoda Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Nama Hamid Bador memang cukup untuk membuatkan ramai yang gerun, sama ada penjenayah atau kaki rasuah yang berselindung di sebalik pakaian seragam PDRM sendiri.

Hamid Bador tegas dalam mengutamakan integriti selain bertanggungjawab untuk memulihkan imej PDRM sendiri.

Biarpun dikenali sebagai individu berpersonaliti 'tidak main-main dengan tugas' namun jauh di sudut hatinya, figura ini mahu melihat pasukan PDRM kembali bersih sekali gus mendapat kepercayaan semua lapisan masyarakat.

Ikuti wawancara khas Kafe Ahad bersama KETUA POLIS NEGARA TAN SRI ABDUL HAMID BADOR dan wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN berkaitan pelbagai isu termasuk persaraan beliau.

Tan Sri sudah berkhidmat lebih empat dekad dalam pasukan PDRM, adakah timbul kekesalan atau terkilan dengan masalah integriti yang berlaku dalam pasukan?

Kecewa juga, hari demi hari saya lihat ada saja tangkapan pegawai serta anggota PDRM oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Jips) PDRM sendiri.

Saya percaya keadaan penyalahgunaan kuasa atau rasuah ini masih berlaku di bawah ini (dalam kalangan pegawai dan anggota) dan tidak dapat saya nilaikan tinggi atau rendahnya.

Sekiranya ia berlaku hampir di semua daerah, maka kita boleh simpulkan bahawa masalah integriti ini masih banyak lagi dan perlu usaha yang berterusan untuk memulihkan integriti pasukan.

Saya rasa terkilan juga sebab beberapa pesanan sudah saya sampaikan untuk mereka menghentikan amalan yang tidak baik ini. Ini adalah tindakan berdosa di sisi agama Islam.

Bagaimanapun, bagi mereka (pegawai dan anggota) yang bekerja dengan jujur, amanah, berintegriti dan berdedikasi, mereka akan terus bekerja dengan baik namun masih ada kumpulan ini (segelintir pegawai dan anggota) yang masih degil.

Jika tertangkap, barulah kita tengok di surat khabar. Contohnya muka sedih mereka dan selepas itu mula datang mesej kepada saya mengatakan anak ramai, rumah tidak beli lagi, isteri itulah inilah dan meminta saya untuk merayu bagi pihak dia.

Orang cakap sudah terhantuk baru terngadah. Itulah kekecewaan saya dan kekesalan saya.

Tan Sri pernah keluar dari Bukit Aman suatu ketika dulu dan kembali kepada pasukan, mungkin Tan Sri boleh kongsikan pahit manis sepanjang dalam pasukan?

Dia ada dua peringkat. Peringkat pertama iaitu saya berkhidmat 36 tahun selepas itu saya memohon untuk bersara awal.

Selepas hampir tiga tahun menjadi orang awam, saya dikembalikan dengan kontrak dan jika dilihat kepada pahit manis ini memang banyak.

Cuma peristiwa pahit yang pernah saya lalui adalah ketika Ops Daulat, lebih tujuh tahun lalu apabila anak buah saya yang rapat dengan saya gugur dalam pertempuran di Semporna, Sabah.

Dalam kejadian itu adalah enam orang, empat daripada Cawangan Khas dan dua daripada Pasukan Gerakan Am (PGA). Itu memang kenangan pahit saya.

Setiap kali menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina (Ops Daulat sekitar awal Februari 2013), saya akan teringat peristiwa itu.

Saya sendiri melihat jenazah Allahyarham Superintendan Ibrahim Lebar, ketika itu saya menitiskan air mata kerana arwah anak buah yang rapat dengan saya dalam pasukan.

Manisnya tidak banyak, cuma yang memuaskan hati saya apabila menjadi Ketua Cawangan Khas di Sabah, tidak berlaku insiden penculikan dan sebagainya.

Syukur kepada Allah SWT dan itu antara kepuasan saya ketika berkhidmat.

Apakah pandangan Tan Sri ketika Tan Sri sendiri menjadi 'nakhoda' PDRM?

Penuh dengan cabaran. Pertama saya cakap soal integriti, ramai yang menyelar saya.

Ada yang menyatakan saya tidak profesional. Ada juga yang menuduh saya membuka pekung di khalayak ramai, kenapa tidak dibuat secara dalaman (siasatan integriti dalam kalangan pegawai serta anggota).

Tetapi orang yang mengkritik ini tidak faham, betapa besarnya masalah yang berlaku, orang luar boleh cakap, kenapa perlu dedahkan, tetapi dia tidak faham.

Orang yang memahami perlu ada roh kepolisan kerana soal integriti ini adalah persoalan yang besar dan imej itu perlu dipulihkan.

Apa rancangan Tan Sri bila bersara nanti?

Ya, saya ada perancangan saya, perancangannya adalah kembali ke tempat asal saya dan melakukan aktiviti yang paling saya suka iaitu bercucuk tanam.

Itulah perancangan saya, saya sudah ada tanah sewa untuk diusahakan dan saya akan fokus kepada minat saya dalam berkebun.

Pasti Tan Sri ada kenalan karib dalam pasukan atau mungkin anggota biasa atau orang awam, mungkin Tan Sri boleh kongsi sedikit kisahnya

Jika dilihat semua, mungkin ramai pegawai-pegawai senior saya dulu yang memberi sumber kekuatan untuk saya untuk bekerja.

Kalau tanya saya apa yang saya rindu adalah teh tarik daripada Orderly Sarjan Mejar Salehin, saya akan merindui teh tarik dia.

Bagi saya, tiada siapa boleh lawan teh tarik SM Salehin ini, kalau sehari saya tak minum macam something wrong, kemudian pastinya kepada pegawai lain, anggota dan pemandu.

Nasihat Tan Sri kepada pegawai muda dan anggota baru ini?

Sebenarnya, perkhidmatan kepolisan begitu suci, ia satu karier yang gemilang dan diakhirnya, sekiranya kita menghormati pantang-larang, mengamal standard disiplin tinggi, kita akan ada satu rasa kepuasan tatkala melangkah keluar daripada pasukan suatu hari nanti.

Apa yang penting adalah disiplin, iman yang kuat, supaya kita tidak cenderung untuk menyalahgunakan kuasa serta amanah yang diberikan.

Ya, kita boleh buat macam-macam untuk orang takut dengan kita, kita boleh ugut orang namun akhirnya akan memakan diri balik.

Pesanan saya, jangan cemarkan imej dan jangan salahkan PDRM atau sesiapa sekiranya kita tidak sampai ke garisan penamat.

Mungkin dalam 20 atau 30 tahun akan datang, kita akan melangkah keluar. Jangan salahkan orang lain jika kita tidak sempat untuk ke garisan penamat dan sudah kecundang di tengah-tengah perjalanan.

Banyak ilmu atau nasihat daripada rakan-rakan dalam pasukan, pegawai senior untuk memberikan panduan supaya tidak terjerumus dalam alam jijik ini.

Berfoya-foya, menindas orang, memaksa orang serahkan duit gaji, orang yang tidak bersalah jadi bersalah kerana memutar belit kertas siasatan.

Ini tidak baik dan berdosa.

Saya kira beribu sudah pegawai atau anggota PDRM masuk penjara jika kita lihat balik atas pelbagai kesalahan.

Kalau tidak belajar lagi, saya tidak tahulah ingin nasihatkan apa lagi.

Saat kita melangkah keluar (bersara) nanti, jika kita seorang yang amanah dan berintegriti, kita akan rasa puas dengan apa yang sudah kita lakukan.

Kita tengok kejayaan diri kita, kejayaan keluarga, kejayaan anak-anak. Ini semua balasan daripada Allah SWT atas kerja baik serta amanah yang kita sudah laksanakan sepanjang berkhidmat.

KETUA POLIS NEGARA TAN SRI ABDUL HAMID BADOR.
KETUA POLIS NEGARA TAN SRI ABDUL HAMID BADOR.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 7:01 AM