HAMID Bador ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Ezairi Shamsudin.
HAMID Bador ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Ezairi Shamsudin.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan mendedahkan senarai nama pegawai yang terbabit isu kartel dalam kalangan pegawai polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, bagaimanapun senarai nama pegawai yang terbabit sudah berada di dalam pengetahuannya.

"Setakat ini kita tidak akan mendedahkan (senarai nama) kerana ia masih dalam keadaan terkawal.

"Pendedahan yang dibuat bukan untuk menguji 'pasaran' saya atau mengumpan untuk disambung kontrak, saya bukan manusia begitu ia adalah untuk kita tidak mengulangi titik-titik hitam yang dahulu," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Abdul Hamid berkata, beliau juga akan berbincang dengan Timbalan Ketua Polis Negara mengenai tindakan yang akan diambil kepada individu yang terbabit.

"Saya tahu apa yang berlaku di bawah sana dan saya ingin mereka tahu bahawa saya tahu.

"Saya akan ambil tindakan kerana saya kenal mereka, saya juga akan berbincang dengan Timbalan Ketua Polis Negara mengenai tindakan yang akan diambil," katanya.

Menurutnya, tindakannya untuk melakukan pendedahan adalah bagi memberitahu perkara sebenar yang terjadi di dalam pasukan.

"Ada yang kata mendedahkan ini (kartel) membuka pekung di khalayak ramai (tetapi) pekung itu siapa yang buat, kita (polis) megah berjalan di pekan, kita ingat orang hormat kita tetapi di belakang orang ludah kita.

"Tidak ada salah saya bercakap mengenai integriti di dalam PDRM kamu semua (wartawan) tahu apa berlaku masa lampau bagaimana orang takut untuk membuat laporan.

"Kita tak nak wujudkan keadaan sebegitu, saya nak jadikan balai polis sebagai tempat perlindungan untuk buat aduan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 1:37 PM