Yonnyboii mengungguli kategori Album Terbaik menerusi album Yonny (Deluxe Version) pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). FOTO ASWADI ALIAS
Yonnyboii mengungguli kategori Album Terbaik menerusi album Yonny (Deluxe Version) pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). FOTO ASWADI ALIAS
Najiy Jefri

 

Shah Alam: Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 23) menyaksikan Yonnyboii mengungguli anugerah Album Terbaik pada acara yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, malam tadi.

Menerusi kejayaan album berjudul Deluxe Version itu, Yonny membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik berjumlah RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebagai insentif dan galakan kepada penggiat industri kreatif.

Ernie Zakri pula memenangi tiga anugerah menerusi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) berjudul Sinar Mata Hati, makalala dua kategori lain adalah hasil paduan duet bersama suaminya yang juga penyanyi Syamel menerusi lagu Goodbye Hello.

Ernie dan Syamel memenangi kategori Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik yang membawa pulang DKD bernilai RM50,000. 

Bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) menjadi milik Arddley Nicholas. 

Untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Berkumpulan Di Dalam Lagu kemenangan  berpihak kepada V.E menerusi lagu Tunggu. 

Shila Amzah dan Liza Hanim pula diumumkan sebagai pemenang kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu dan Runut Bunyi Terbaik Di Dalam Filem/ Drama menerusi lagu Bahagiakan Dia.

Alyah pula mengungguli kategori Lagu Nasyid Terbaik menerusi lagu Thank You Allah manakala Ziha Salleh memenangi dua kategori iaitu Lagu Pop Etnik Terbaik dan Kulit Album Terbaik menerusi lagu Adat Kasih.

Ernie turut meraih trofi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Sinar Mata Hati  pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). FOTO ASWADI ALIAS
Ernie turut meraih trofi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Sinar Mata Hati pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). FOTO ASWADI ALIAS

Anugerah Sri Wirama AIM diberikan kepada penasihat syarikat rakaman Suria Records (SRC), Tan Su Loke atas sumbangannya kepada industri muzik serta menjadi individu terpenting di sebalik kejayaan penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Anugerah terbabit disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Trofi Artis Baharu Terbaik tahun ini diserahkan kepada Vanessa Reynauld menerusi lagu Buat Ku Sempurna sekali gus membawa  pulang DKD berjumlah RM50,000.

Pada acara berprestij itu, penyanyi Janna Nick memenangi trofi Video Muzik Terbaik menerusi lagu Gatal sekali gus membawa pulang DKD bernilai RM20,000. 

Lagu Tudung Periuk yang dipersembahkan Dayang Nurfaizah turut dipilih sebagai pemenang kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu, Rakaman Lagu Terbaik dan Rakaman Album Terbaik berjudul Belagu.

Sementara itu, Sekumpulan Orang Gila (Tugu Ugut) membuktikan yang genre  rock begitu sebati buatnya apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Lagu Rock Terbaik.

Turut membawa pulang trofi adalah Joe Flizzow (CIAO) dan Sophia Zuhri (Game of Charades) apabila masing-masing membawa pulang trofi lagu R&B/Hip Hop Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.

Bagi kategori lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik dimenangi kumpulan Late Night Frequency menerusi lagu Fun, Lust , Love. 

Bertemakan Glam & Sophisticated, AIM 23 dikendalikan tiga hos iaitu Sherry Alhadad, Awal Ashaari dan Azad Jasmin. 

Antara penyanyi yang tampil mengadakan persembahan termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Ella, Nikki Palikat dan Aina Abdul.

Tidak ketinggalan De Fam, Janna Nick, Vanessa Reynold, Hafiz Suip, Ernie Zakri, Amir Masdi, Insomniacks, Naufal dan Nuha.

Acara malam itu turut menyaksikan Datuk M Nasir, Ziana Zain, Khai Bahar, Wany Hasrita, Jaclyn Victor dan Datuk Adi Putra yang bertindak sebagai penyampai trofi.

 

 


 

Senarai pemenang AIM 23

1. KULIT ALBUM TERBAIK:  Ziha Salleh - Adat Kasih

2. RAKAMAN LAGU TERBAIK : Tudung Periuk - Dayang Nurfaizah 

3. RAKAMAN ALBUM TERBAIK : 

Dayang Nurfaizah - Belagu 

4. RUNUT BUNYI (OST) TERBAIK DI DALAM FILEM/DRAMA: Shila Amzah & Liza Hanim - Bahagiakan Dia 

5. VIDEO MUZIK TERBAIK: Janna Nick- Gatal

6. LAGU NASYID TERBAIK: Alyah ft Cat Farish & Ustaz Haris - Thank You Allah 

7. LAGU POP ETNIK TERBAIK:  Ziha Salleh - Adat Kasih 

8. LAGU POP TERBAIK: Syamel dan Ernie Zakri - Goodbye Hello 

9. LAGU ROCK TERBAIK: Sekumpulan Orang Gila - Tugu Ugut 

10. LAGU POP ELETRONIK/DANCE TERBAIK: Late Night Frequency - Fun, Lust, Love 

11. LAGU R&B/HIP HOP TERBAIK: Joe Flizzow - CIAO 

12. LAGU CINA TEMPATAN TERBAIK: Wu Ren Qian Shou De Xin Fu (Uriah)

13. LAGU INGGERIS TEMPATAN TERBAIK:

Sophia Zuhri - Games Of Charades 

14. SUSUNAN MUZIK TERBAIK DALAM LAGU: Dayang Nurfaizah - Tudung Periuk

15. LAGU MELAYU TERBAIK YANG DIPERSEMBAHKAN OLEH ARTIS ANTARABANGSA: 

Keisya Levronka - Tak Ingin Usai

16. ALBUM TERBAIK 

Yonnyboii (Deluxe Version)

17. PERSEMBAHAN VOKAL DUO/KOLABORASI TERBAIK DI DALAM LAGU: Shila Amzah & Liza Hanim - Bahagiakan Dia

18. PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DALAM LAGU LELAKI:  Arddley Nicholas - Pilu

19. PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DALAM LAGU WANITA:  Ernie Zakri - Sinar Mata Hati

20. PERSEMBAHAN VOKAL BERKUMPULAN TERBAIK DALAM LAGU: V.E - Tunggu

21. ARTIS BARU TERBAIK: Vanessa Reynauld - Buat Ku Sempurna

22. LAGU TERBAIK : Ernie Zakri dan Syamel - Goodbye Hello

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 10:53 AM