GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Penularan Covid-19 merekodkan 3,731 kes baharu, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam negara meningkat kepada 242,452 kes dengan kebolehjangkitan 51,241 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, ada lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan dalam negara pula adalah 3,723 kes.

"Selangor melaporkan kes harian tertinggi sebanyak 1,606 kes dengan 1,025 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 499 kes dan Kuala Lumpur sebanyak 372 kes.

"Sebanyak 43 kes (daripada keseluruhan kes) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang (18 kes), Kluster Tembok Taiping (9 kes), Kluster Tembok Renggam (7 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (5 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3), dan Kluster Tembok Mempaga (1 kes)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 3,369 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih dalam negara adalah 190,339 kes.

Beliau turut memaklumkan, terdapat pertambahan 15 kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 872 kes atau 0.36 peratus.

"Sehingga kini, terdapat 292 kes positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 140 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"KKM turut mengesan tujuh kluster baharu hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Lembah Selatan, Kluster Jalan Bagan , Kluster Ampang Campuran, Kluster Jalan Gangsa Dua , Kluster Seruas , Kluster Taman Segar dan Kluster Lorong Mawar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 7:14 PM