ISMALIZA membawa dua anaknya melambai suaminya yang di Woodland, Singapura bagi melepaskan kerinduan mereka. FOTO Ihsan Keluarga
ISMALIZA membawa dua anaknya melambai suaminya yang di Woodland, Singapura bagi melepaskan kerinduan mereka. FOTO Ihsan Keluarga
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang ibu membawa dua anaknya menyusur Selat Johor, di sini, dengan menaiki bot selepas mereka terlalu merindui bapa yang terkandas di Singapura, sejak lapan bulan lalu.

Ismaliza Ismail, 39, berkata, tindakan membawa dua anaknya, Muhammad Aufa Rayyan, 6, dan Nur Insyirah Malaika,3, menaiki bot menyusur Selat Tebrau di bahagian Stulang itu bagi meredakan kerinduan mereka terhadap suaminya, Muhammad Arshad Rahim, 30.

Katanya, kedua-dua anaknya itu sering bertanya bila bapa mereka akan pulang sehingga menyebabkan dia kehabisan kata-kata untuk memujuk mereka.

"Walaupun saya sudah terangkan papa (bapa) mereka perlu bekerja dan tidak dapat pulang selagi sempadan masih ditutup, mereka tetap akan bertanya soalan yang sama 'mama (ibu), bila papa nak balik' berulang kali, sehingga saya pun serba salah.

"Kadang-kala saya pun sebak mengenangkan mereka terlalu merindui papa mereka, namun saya perlu kuat dan tidak dibuai perasaan sedih supaya kedua anak saya turut kuat menanti kepulangan papa mereka.

"Selain membuat panggilan video sekiranya suami tidak bekerja, saya terdetik membawa kedua anak ke Pantai Stulang bagi melepaskan kerinduan mereka, selepas membaca kisah tular mengenai suami yang melambai isteri dan anak dari Woodlands, Singapura kerana rindu.

"Adik saya mempunyai bot kecil untuk memancing turut mencadangkan supaya kedua anak saya menaiki bot menyusur Selat Tebrau di pesisiran Pantai Stulang sahaja supaya mereka dapat melambai papa mereka Sabtu lalu," katanya ketika ditemui.

Sabtu lalu, tular video menunjukkan dua anak Ismaliza yang dibawa menaiki sebuah bot kecil untuk menyusur Selat Johor bagi melambai dan melepaskan kerinduan terhadap ayah mereka.

Menceritakan lebih lanjut mengenai suaminya, Ismaliza berkata, kali terakhir dia dan anaknya bertemu suaminya itu adalah pada malam 17 Mac lalu, sebelum pintu sempadan Malaysia-Singapura, ditutup berikutan penularan wabak Covid-19.

"Suami dan saya pada mulanya beranggapan pintu sempadan hanya ditutup selama dua minggu, namun ia berlanjutan sehingga hari ini," katanya.

Ditanya sama ada suaminya akan mengambil skim Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) bagi bercuti dan bertemu keluarga terutama dua anak mereka, Ismaliza berkata, pada masa ini, suaminya tiada hasrat berbuat demikian.

"Ia berikutan kekangan cuti disebabkan majikan suaminya di Singapura hanya memberikan cuti tujuh hari. Kuarantin wajib 14 hari, jadi suami sukar untuk menggunakan skim berkenaan.

"Namun, saya mendoakan keadaan wabak Covid-19 akan reda sekali gus sempadan akan dibuka seperti dahulu, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 4:50 PM