BETO tidak salahkan netizen namun harap mereka sedar setiap insan ada masalah tersendiri. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
BETO tidak salahkan netizen namun harap mereka sedar setiap insan ada masalah tersendiri. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin


SUDAH dua dekad dalam kerjaya seni, nama dan bakat Beto Kusyairy, 40, bukan asing dan ia sudah dibuktikannya dengan beberapa trofi pelakon terbaik yang dimenangi.

Hingga kini, Beto juga bagaikan tidak tergugat untuk terus memahat kukuh namanya kerana dia adalah pelakon berkaliber yang cukup disegani dan dikagumi ramai.

Namun, tak dinafikan penularan kes Covid-19 di negara ini cukup memberi impak besar pada pengkarya seni tempatan terutama dari aspek kewangan.

Justeru, apabila wujud pertikaian dan kecaman netizen yang mempersoalkan kenapa pengkarya seni perlu mendapat bantuan khas seakan mereka 'lebih istimewa', Beto berkata, usah terlalu skeptikal.

"Tiada yang istimewanya. Kami pun (pengkarya seni) sama sahaja dengan anda semua yang tetap dikenakan membayar cukai setiap tahun. Malah, tak semua pun daripada kami hidup serba mewah.

"Jadi, jangan kecam sesuka hati. Anda tidak pernah duduk dalam 'kasut' kami dan sedar bahawa setiap insan pasti ada cerita dan masalah mereka sendiri," katanya.

PERSIAPKAN diri bagi hadapi segala kemungkinan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
PERSIAPKAN diri bagi hadapi segala kemungkinan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Pelakon filem Istanbul Aku Datang dan Gila Baby itu, bagaimanapun tidak menyalahkan tindakan netizen, namun berharap mereka tidak berterusan menghentam

dan memperlekehkan pengkarya seni.

Mengulas situasi dirinya ketika melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, Beto berkata, dari aspek kerjaya lakonan memang terjejas kerana kena berhenti kerja serta-merta dan bercuti lama.

"Selama tiga bulan duduk di rumah, tak dapat kerja macam selalu memang saya cuti lamalah. Tapi, Alhamdulillah saya tidak berhadapan masalah kewangan yang terjejas teruk dan syukur boleh bertahan.

"Ini kerana saya sentiasa beringat dan membuat simpanan kewangan sendiri untuk kegunaan kecemasan kerana sedar kerjaya sebagai pengkarya seni sentiasa ada pasang surutnya.

"Saya anggap bernasib baik mempunyai wang simpanan kerana sentiasa berfikiran jauh sejak dahulu. Saya tidak begitu berbelanja bermewah-mewah kerana utamakan simpanan," katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Nurkusyairy Zakuan Osman ini, tanpa Covid-19 muncul pun, dia sudah belajar untuk beringat kerana pembabitan dalam kerjaya seni tiada gaji bulanan.

"Ditambah, saya pula jenis yang tidak suka meminta-minta. Jadi, sejak awal menceburi kerjaya ini saya berasa perlu ada persediaan untuk masa depan dengan perancangan teratur.

"Malah, saya juga sangat sedih apabila melihat kebanyakan rakan yang terkesan akibat Covid-19 kerana hilang punca pendapatan dikecam hebat oleh netizen di media sosial," katanya.

Justeru, menurut Beto seharusnya dia perlu mempersiapkan diri untuk selalu bersedia bagi menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku dan tak dijangka seperti kewujudan Covid-19.

Katanya, apa yang berlaku kini perlu dijadikan iktibar dan pengajaran buat kita semua. Hidup ini umpama roda, sentiasa berputar dan jangan mudah berasa selesa apabila berada di atas.

BARISAN pelakon bergambar dengan Rahila (tiga dari kiri) dan penerbit, Datuk Ayu Puteh
BARISAN pelakon bergambar dengan Rahila (tiga dari kiri) dan penerbit, Datuk Ayu Puteh

Pertaruh filem Aku Bukan Gila

Beto yang ditemui pada majlis pelancaran filem lakonannya Aku Bukan Gila mengakui teruja ketika diberi peluang membintangi naskhah yang diarahkan Rahila Ali itu.

Karya sarat dengan mesej mengenai bagaimana menghadapi individu yang mempunyai masalah kesihatan mental seperti 'bipolar disorder', ia bagi Beto karya menarik diterbitkan produksi Pencil Pictures And Records.

Mengulas wataknya, Beto berkata, dia melakonkan watak sebagai Andre yang awalnya bersikap pemarah, tetapi akhirnya banyak mendapat kesedaran selepas bertemu wanita yang mengalami masalah 'bipolar disorder'.

"Filem Aku Bukan Gila ini sangat diharapkan dapat membuka mata masyarakat di negara ini mengenai isu berkaitan kesihatan mental yang masih dipandang remeh.

"Saya menerima tawaran filem ini kerana ia naskhah yang memuatkan banyak mesej yang baik. Bahkan, selain itu saya juga mempunyai beberapa kenalan yang menghadapi masalah mental.

BERSAMA Fasha dan Wanna (kanan) membintangi filem Aku Bukan Gila. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
BERSAMA Fasha dan Wanna (kanan) membintangi filem Aku Bukan Gila. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

"Sebenarnya ramai antara kita yang tidak tahu serta memahami apa itu penyakit 'bipolar'. Jadi, ada yang memandang remeh dan saya anggap satu tanggungjawab untuk menyuntik kesedaran pada masyarakat mengenai penyakit ini," katanya.

Beto berkata, kebanyakan orang selalunya tidak sedar mereka menghidapi penyakit 'bipolar' kerana tidak pernah membuat pemeriksaan. Realitinya, kini ramai yang berhadapan masalah kesihatan mental.

Turut membintangi filem ini ialah Fasha Sandha dan Wanna Ali. Ia turut menjalani penggambaran di Beddgelert, Wales, United Kingdom pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 7:00 AM