Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Gambar pelawak dan penyampai radio Hot FM, Shuib mengenakan jam tangan mewah jenama berbeza seperti Rolex, Audemars Piguet dan Richard Mille yang dianggarkan bernilai sekitar RM60,000 hingga RM4 juta yang tersebar di media sosial mendapat tumpuan warganet.

Pendedahan terbaharu itu selepas beberapa jenama kereta mewah didakwa miliknya disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes penggubahan wang haram, baru-baru ini.

Biarpun dihujani dengan pelbagai spekulasi, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad bagaimanapun terus tenang dan bersabar kerana percaya kebenaran akhirnya akan terbukti.

"Alhamdulillah banyak yang kutuk, hina, maki. Tak apalah, Allah ada.

"Bersabar ya sayang (Siti Sarah). Insya Allah semuanya akan okay nanti," katanya.

Status dimuat naik itu disertakan dengan foto kenangan mereka ketika mengerjakan ibadah umrah di Makkah.


Terdahulu, turut tersebar gambar-gambar kereta mewah yang disita oleh SPRM di laman sosial sehingga mencetuskan spekulasi ia milik Shuib kerana pernah dipamerkannya sebelum ini.

Tidak terkecuali jam tangan yang pernah digayakan Shuib turut menjadi perbualan ramai.

Bahkan ia mengundang minat pengguna Facebook membuat semakan dan berkongsi anggaran harga aksesori mewah kepunyaan Shuib.

Shuib yang ditemani Sarah hadir ke SPRM pada 1 Oktober lalu bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes pengubahan wang haram mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM 2001. 

Dia mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana memberi layanan yang sangat baik terhadapnya sepanjang 23 jam siasatan.

Dia juga menganggap apa yang berlaku sebagai satu cabaran dalam menjalankan perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 5:28 PM