AHMAD Naufal menjadi satu-satunya OKU yang membuka kedai gunting rambut di Pontian, Johor. FOTO Ahmad Naufal Ahmad Suhaimi.
AHMAD Naufal menjadi satu-satunya OKU yang membuka kedai gunting rambut di Pontian, Johor. FOTO Ahmad Naufal Ahmad Suhaimi.
Redzuan Muharam


KEKURANGAN diri bukan halangan untuk orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran, Ahmad Naufal Ahmad Suhaimi apabila membuka kedai gunting rambut dikenali Valor Barber Shop.

Lebih mengagumkan, Ahmad Naufal, 30, menjadi satu-satunya OKU yang membuka kedai gunting rambut di pekan Pontian, Johor.

Ahmad Naufal yang sudah berumah tangga menceburi bidang itu kerana minat dan kemahiran dimiliki mendorongnya membuka kedai sendiri pada 23 Mei tahun lalu.

Katanya, kedai itu tidak khusus untuk OKU saja, sebaliknya terbuka kepada semua pelanggan.

"Saya mengalami masalah pendengaran sejak kecil, jadi sudah terbiasa dengan kekurangan ini.

"Lagipun, saya percaya kekurangan itu bukan alasan untuk berjaya dan disebabkan itu, saya nekad belajar hingga memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

"Berbekalkan kemahiran itu, saya kumpul wang untuk dijadikan modal dengan harapan dapat membuka kedai dan Alhamdulillah, impian itu jadi kenyataan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Ahmad Naufal, dia berkomunikasi dengan pelanggannya dengan dua cara iaitu visual dengan berpandukan gambar dan bahasa isyarat.

Katanya, sehingga kini, operasi di kedai berjalan lancar dan masalah komunikasi hanya berlaku ketika berurusan dengan pelanggan baru.

"Buat masa ini, saya dibantu seorang pekerja yang juga OKU. Seperti perniagaan lain, saya tidak terlepas daripada cabaran dan salah satunya adalah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila kerugian kira-kira RM30,000 berikutan kedai ditutup.

"Alhamdulillah, kerajaan sudah membenarkan kedai gunting beroperasi semula dan peluang itu akan saya gunakan sebaiknya untuk terus menjana pendapatan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Mengenai hala tujunya, Ahmad Naufal merancang untuk membuka cawangan kedai gunting rambut bagi mengembangkan perniagaannya.

Menurutnya, dia puas kerana dapat berdikari dan membuka kedai sendiri walaupun berstatus OKU.

"Jika ada rezeki, sudah tentu saya mahu menambah cawangan di kawasan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 9:00 PM