Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Biarpun dilahirkan dengan masalah pendengaran, Anis Farahana Jailani atau mesra disapa Ciknis tidak malu untuk berdepan khalayak umum, malah aktif berkongsi ilmu bahasa isyarat di platform Twitter .

Anis, 22, yang menetap di Kuala Kangsar, Perak menjadikan aktiviti itu bagi mengisi masanya sementara belum lagi bekerja.

Lulusan sijil kemahiran Hotel dan Katering di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Arau, Perlis itu berkata, niatnya berkongsi ilmu untuk memberi peluang kepada mereka yang berminat mempelajari bahasa isyarat bagi memudahkan komunikasi dengan orang kurang upaya (OKU).

"Saya dilahirkan pekak dan pernah rasa rendah diri disebabkan kekurangan itu, namun saya bersyukur dengan nikmat lain diberikan Allah selepas melihat ada yang lebih kurang bernasib baik berbanding saya.

"Kehidupan saya tidak sama seperti orang lain kerana perlu menulis apa mahu disampaikan di dalam nota atau menaip di telefon bimbit ketika bertemu dengan individu bukan OKU," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Anis berkata, dia lebih selesa berkomunikasi dalam bahasa isyarat menyebabkan dia menggunakan ilmu yang ada untuk mengajar ahli keluarga serta rakan terdekat.

"Saya ajar cara mudah dan asas berkomunikasi dalam bahasa isyarat dan Alhamdulillah, keluarga serta rakan sudah mahir.

"Bagi saya, ilmu itu harus disebarkan dengan meluas supaya lebih ramai boleh berkomunikasi dalam bahasa isyarat.

"Jadi, saya jadikan Twitter sebagai platform dengan memuat naik ciapan gambar mengajar cara mengucap dan menjawab salam, ucapan terima kasih selain simbol tangan yang membawa isyarat huruf untuk rujukan pengikut," katanya.

Anis berkata, selepas ini dia bercadang memuat naik pula tutorial bahasa isyarat di saluran YouTube.

Dia berharap ilmu itu diharap memberi manfaat dan memudahkan orang ramai setiap kali berurusan dengan OKU.

"Saya percaya ramai mahu membantu, mendekati dan berkomunikasi dengan OKU pekak dan bisu khasnya, cuma tidak tahu cara hingga ada kekangan di antara kedua-dua pihak.

"Jadi, penguasaan dalam bahasa isyarat adalah salah satu cara untuk mengatasi jurang di antara individu normal dan OKU.

"Ramai OKU yang menganjurkan kelas bahasa isyarat dan diharap masyarakat mengambil bahagian serta terus menyokong golongan seperti kami supaya tidak berasa rendah diri kerana kekurangan yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 8:30 PM
ANIS Farahana berkongsi ilmu bahasa isyarat menerusi Twitter. FOTO Anis Farahana Jailani
ANIS Farahana berkongsi ilmu bahasa isyarat menerusi Twitter. FOTO Anis Farahana Jailani