MUHAMMAD Naufal menunjukkan hasil lukisannya ketika dirawat di hospital dan  Muhammad Naufal ketika sihat. FOTO Ihsan Mohammad Aidil Suhaimi
MUHAMMAD Naufal menunjukkan hasil lukisannya ketika dirawat di hospital dan Muhammad Naufal ketika sihat. FOTO Ihsan Mohammad Aidil Suhaimi
Redzuan Muharam


Cheras: Belum puas merasai pengalaman bersuai kenal dengan guru dan rakan sebaya di sekolah, Muhammad Naufal Mohammad Aidil diuji dengan barah saraf tahap empat pada April lalu.

Sejak itu, hospital ibarat rumah kedua buat Muhammad Naufal, 7, kerana perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan termasuk 10 sesi kemoterapi serta pembedahan membuang sel barah di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.

Bapanya, Mohammad Aidil Suhaimi, 31, berkata, Muhammad Naufal dilahirkan normal dan dulunya sihat namun dia dan isteri, Nor Syazwani Baharudin, 32, mula menyedari perubahan anak sulung mereka itu pada Aidilfitri lalu.

Antara perubahan itu adalah banyak meragam dan mengalami masalah kesihatan.

Melihat keadaan Muhammad Naufal, Mohammad Aidil yang menetap di Bandar Mahkota Cheras, di sini membawa anak mereka itu ke hospital sebelum menerima berita yang mengejutkannya.

"Mulanya susah juga nak percaya Naufal (nama panggilan) menghidap barah kerana tiada dalam kalangan ahli keluarga saya mahupun isteri yang menderita akibat penyakit berkenaan.

"Tapi doktor sendiri sahkan selepas memperoleh keputusan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

"Saya sedih namun isteri lebih lagi (sedih) namun kami tiada pilihan melainkan reda dengan ketentuan-Nya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pada awalnya, Mohammad Aidil dan isteri tidak menceritakan kepada Muhammad Naufal mengenai penyakitnya.

Bagaimanapun, dia dan isteri ambil keputusan untuk berterus terang selepas anak mereka itu kerap keluar masuk hospital.

"Kami terpaksa cerita kerana nak anak faham mengapa dia perlu terima rawatan dan duduk di wad.

"Mujurlah Naufal seorang budak yang kuat dan tenang saja tapi dia ada cakap nak sembuh serta kembali bersekolah.

"Itu yang saya dan isteri cuba lakukan iaitu ikhtiar supaya Naufal kembali sembuh," katanya.

Buat masa ini, Mohammad Aidil masih bekerja sebagai pemandu bas perantara Transit Aliran Massa (MRT), manakala isterinya penyelia di sebuah pasar raya.

"Ketika Naufal di hospital, kami akan bergilir-gilir menjaganya dan ibu mentua turut membantu kerana Naufal rapat dengan neneknya.

"Setakat ini, tiada masalah cuma kerisauan kami adalah mencari dana untuk menampung kos ubat Naufal yang dianggarkan berjumlah RM300,000 hingga RM400,000.

"Ikutkan gaji pokok kami memang tak cukup kerana ada tiga anak lagi, malah pendapatan saya hanya RM1,500 dan isteri pula lebih RM2,000.

"Jadi, saya cuba usahakan minta bantuan zakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Buat masa ini, Naufal di rumah selepas dibenarkan keluar wad Sabtu lalu," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 162384812649 atas nama Mohammad Aidil Suhaimi atau menghubunginya di talian

018-3248828.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 11:28 AM