LASTIK mainan buatan Wan Muhammad Aznan Wan Azmi terjual dengan  harga bidaan RM2910.23. FOTO Ihsan Wan Muhammad Aznan Wan Azmi
LASTIK mainan buatan Wan Muhammad Aznan Wan Azmi terjual dengan harga bidaan RM2910.23. FOTO Ihsan Wan Muhammad Aznan Wan Azmi
Redzuan Muharam


Sik: Atas nama solidariti dan dengan niat meringankan penderitaan rakyat Palestin mendorong pensyarah sambilan di sebuah kolej swasta, Wan Muhammad Aznan Wan Azmi mengambil inisiatif melelong mainan lastik buatannya.

Hasilnya, lastik replika bersaiz kecil itu terjual dengan harga bidaan RM2,910.23.

Wan Muhammad Aznan, 50, berkata, tempoh bidaan adalah seminggu bermula 22 Oktober hingga 12 tengah malam semalam dengan sasaran jualan RM1,000.

Bagaimanapun, dia yang juga peminat dan pembuat mainan terkejut apabila lastik itu dibida dengan harga hampir dua kali ganda lebih tinggi daripada sasaran jualannya.

"Lastik itu saya buat sendiri daripada resin dan ia (lastik) adalah simbolik penentangan Palestin, melambangkan perjuangan akar umbi menentang pendudukan juga mengambil inspirasi kisah Nabi Daud melawan Jalut.

"Saya buat satu saja (lastik) dan tujuannya membantu serta menambah dana untuk tabung rakyat Palestin.

"Sebak juga rasanya waktu buat mainan itu kerana sebelum ini tak ada rasa sedih.

"Saya syukur kerana ia terjual selepas bidaan dimenangi Muhaimin Ramli dari Subang Bestari, Selangor," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Wan Muhammad Aznan berkata, walaupun tidak banyak, dia berasa puas apabila karya seninya dapat dijual seterusnya menyumbang kepada tabung Palestin

"Secara tak langsung, usaha itu bantu saya mengajak komuniti mainan bersatu hati berkempen dan kongsi kesedaran untuk selamatkan Palestin.

"Diharap, ia dapat membuka mata artis lain untuk buat projek yang sama. Saya juga berdoa semoga Allah lindungi rakyat Palestin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 5:46 PM