MIRA FILZAH
MIRA FILZAH
Sudirman Mohd Tahir


UCAPAN hari jadi daripada adik pelakon popular, Mira Filzah iaitu Aina Fadhilah dengan menggunakan gelaran abang ipar kepada lelaki yang dikaitkan dengan pelakon itu, Wan Emir Astar menarik perhatian peminat.

Ia sekali gus mengukuhkan lagi spekulasi yang mengatakan Mira dan anak kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Mastura Mohd Yazid itu bakal berkahwin tidak lama lagi.

Ucapan ringkas berbunyi 'Happy Birthday BIL' (brother-in-law) itu mendapat lebih 160 tanda suka daripada pengikut di Instagram Wan Emir.

Dalam masa sama, status dimuat naik Wan Emir beserta gambar wanita yang ditanda (tag) nama Mira Filzah dan ibunya itu dengan cincin di jari manis turut mengundang teka teki.

Pada gambar itu juga, tertera beberapa perkataan bahasa Inggeris iaitu 'thankful', 'grateful' dan 'blessed'.


Bagaimanapun, status yang ditulis Wan Emir itu lebih kepada ucapan terima kasih kepada keluarga terutama kepada ibu dan Allahyarham bapanya sempena hari jadinya.

"Maafkan saya, semua orang, atas semua kelemahan dan kekurangan saya. Dan terima kasih yang kepada semua untuk segalanya.

"Terima kasih atas segala ucapan dan doa. Semoga Allah memberkati kita semua," tulisnya.

Kisah pasangan ini mula menjadi perhatian selepas Mira mengakui sedang berkawan dengan lelaki bukan dalam kalangan penggiat industri kepada Harian Metro tahun lalu.

Malah, awal tahun ini dan beberapa bulan lalu bertiup kencang Mira dan Wan Emir bakal berkahwin pada Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 1:16 AM