DR Noor Hisham. FOTO Bernama
DR Noor Hisham. FOTO Bernama
Shamran Sarahan dan Raja Noraina Raja Rahim dan Rosyahaida Abdullah


HANYA 22 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini membabitkan rakyat Malaysia sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebanyakan kes jangkitan ketika tempoh PKPB berlaku dalam kalangan pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beliau berkata, berdasarkan dapatan itu boleh disimpulkan, rakyat Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, katanya, pihaknya memandang serius isu jangkitan yang berlaku di Depoh Tahanan Imigresen dan akan menilai semula SOP di pusat tahanan itu.

"Kita masih menyiasat punca jangkitan itu sama ada dijangkiti daripada PATI yang baru dibawa masuk ke depoh tahanan berkenaan atau kakitangan termasuk pekerja pembersihan dan penyediaan makanan.

"Siasatan akan dilakukan dari semua sudut dan kita berharap dapat menemui jawapannya," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, pusat tahanan sama ada depoh imigresen atau penjara yang mempunyai kepadatan penghuni memerlukan pematuhan SOP ketat bagi mencegah penularan wabak itu.

Katanya, setiap PATI atau pesalah baharu perlu menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk.

"Apa kita perlu lakukan adalah memastikan mereka diuji dan jika negatif baru dibenarkan diletakkan di pusat tahanan itu," katanya.

Mengenai keputusan ujian saringan di empat depoh tahanan imigresen, Noor Hisham berkata, seramai 283 pati didapati positif di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil manakala DTI Sepang (36), Putrajaya (2) dan Semenyih 66 orang termasuk seorang kakitangan.

Katanya, sebanyak 41 ujian saringan di DTI Putrajaya masih menunggu keputusan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 6:52 PM