GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohamed Farid Noh


JENAZAH mangsa wabak koronavirus baharu (Covid-19) yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) tengah hari tadi, selamat dikebumikan di sebuah tanah perkuburan Islam di Johor Bahru, kira-kira 9 malam tadi.

Jenazah lelaki berusia 34 tahun itu, dilihat tiba dari HSA dengan menaiki van jenazah pada 8.15 malam tadi.

Kira-kira 10 lelaki dipercayai kakitangan hospital selain orang awam, dilihat mendengar taklimat sebelum memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Pada 8.45 malam, kesemua mereka dilihat menghampiri van jenazah sebelum mengangkat jenazah yang siap dikapankan, menggunakan pengusung hospital.

Orang ramai termasuk media tidak dibenarkan menghampiri kawasan perkuburan sehingga selesai pengebumian.

Mangsa yang meninggal dipercayai kes-178, yang pernah menghadiri Perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, di Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Mangsa dilaporkan mula mengalami gelaja demam mulai 5 Mac lalu, sebelum mendapat rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru, pada 12 Mac

selepas dikesan positif Covid-19.

Keadaannya didapati merosot dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia tengah hari ini.

Difahamkan isteri dan anak mangsa tidak menghadiri majlis pengebumian berkenaan kerana sedang dikuarantinkan di Hospital Permai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 10:21 PM