AMBER membelah lidah dan mempunyai tatu pada badan. FOTO AGENSI
AMBER membelah lidah dan mempunyai tatu pada badan. FOTO AGENSI
Agensi

New South Wales: Seorang wanita di Australia membelanjakan 20,000 Pound Sterling (RM108,176) untuk menghias seluruh badan dan wajahnya dengan lebih 150 tatu.

Menurut laporan Mirror, rekaan pertama wanita itu berbentuk kaligrafi lama yang sangat ringkas berbunyi: ‘Anda boleh terus mengetuk, tetapi jangan ketuk saya ke bawah; Tiada cinta ditemui, tiada cinta hilang.’

Kini, setiap inci badannya dilitupi rekaan sangat mengagumkan termasuk motif bungaan, tengkorak, haiwan dan blok selain lidahnya terbelah dua dan matanya berwarna kebiruan.

Amber Breeana Luke, 24, berkata, dia mendapat idea itu ketika usianya 16 tahun kerana rasa ingin tahu sebelum minatnya terhadap seni tatu itu semakin bercambah pada usia 20 tahun.

“Sejak itu, saya mula mendapatkan tatu yang lebih berat.

“Perasaan saya ketika menerima tatu itu sukar diungkapkan. Minit demi minit, saya rasa tenaga negatif hilang dari badan saya,” katanya.

Pelatih tatu yang belajar dalam bidang kawalan trafik itu berkata, dia tidak pasti berapa jumlah sebenar tatu di badannya.

“Saya mula berhenti mengira ketika jumlahnya mencapai 150. Tetapi, saya rasa saya ada lebih 100 tatu lagi,” katanya.

Lebih ekstrem lagi, dia mengubah lidahnya kepada dua bahagian dan menambah implan silikon dalam matanya untuk nampak lebih menarik.

“Tatu pada anak mata menyebabkan saya mengalami kesakitan hebat, tetapi sangat berbaloi.

“Setiap pagi, apabila saya bangun dan melihat mata ini, ia membuatkan saya gembira kerana biru adalah warna kegemaran saya,” katanya.

Kecintaannya terhadap tatu selari dengan keputusannya mendapatkan bantuan bagi mengatasi masalah kesihatan mental dialaminya sejak beberapa tahun lalu.

“Didikan saya sejak kecil sangat hebat. Ibu saya bekerja keras setiap masa dan memberi apa saja yang saya mahukan.

“Tapi saya kesunyian kerana anak tunggal dan ibu terlalu sibuk bekerja,” katanya.

Katanya, dia mengalami masalah kebimbangan dan kemurungan ketika usianya 16 tahun sebelum mengalami masalah kecelaruan identiti dengan skizofrenia serta pernah 15 kali cuba membunuh diri.

Amber memuat naik gambar badannya bertatu itu ke media sosial dengan harapan memberikan inspirasi kepada orang di luar sana.

“Saya mahu memberi inspirasi supaya sayang badan kita sambil mempromosikan contoh positif dengan menonjolkan ubah suai badan dan kepelbagaian tatu.

“Kita mesti mencuba dan kreativiti dan minat seseorang itu dapat dizahirkan dalam cara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 6:10 AM