PELBAGAI senjata api tiruan yang dirampas daripada suspek.
PELBAGAI senjata api tiruan yang dirampas daripada suspek.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


BUKAN satu senjata api tiruan dimilikinya, sebaliknya seorang kapten kapal dagang mempunyai tiga lagi senjata api yang dibeli secara dalam talian sejak dua tahun lalu.

Difahamkan, lelaki berusia 40-an itu sanggup melabur ribuan ringgit kerana mendakwa terlalu obses dengan senjata api seperti senapang dan pistol.

Bagaimanapun, rahsia lelaki itu memiliki hobi pelik terbongkar selepas doktor memaklumkan kepada polis terdapat seorang wanita menerima rawatan akibat cedera di lengan kiri kerana terkena tembakan.

Akibat itu, suspek berkenaan ditahan sepasukan polis di rumahnya di Taman Desa Murni, Kamunting di sini, jam 1 tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menahan suspek selepas dimaklumkan doktor yang merawat mangsa di sebuah hospital swasta di sini.

 OSMAN  (tiga dari kanan) dan pegawainya menunjukkan senjata api yang dirampas, semalam.
OSMAN (tiga dari kanan) dan pegawainya menunjukkan senjata api yang dirampas, semalam.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada malam Isnin lalu ketika suspek membersihkan raifal tiruan berkenaan di rumah.

Katanya, peluru daripada senjata berkenaan dipercayai terkena pada isteri lelaki terbabit yang juga guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) berusia 30-an menyebabkannya cedera pada lengan kiri.

“Anggota polis yang melakukan pemeriksaan di rumah itu menemui senjata api tiruan iaitu pistol Pietro Gardone VT buatan Itali dan pistol Glock Inc Smyra GA buatan Austria.

“Selain itu, turut ditemui ialah raifal WE918 Full Auto dan Semi buatan Taiwan bersama pelbagai aksesori termasuk penyenyap bunyi dan 160 peluru logam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 7:40 AM